Perhilitan pindah gajah jantan liar di Tanah Merah

Perhilitan pindah gajah jantan liar di Tanah Merah

Gajah jantan dengan saiz tapak kaki 18 inci dan dianggarkan seberat 3.5 tan ditangkap di kawasan kebun getah di Kampung Air Kayam dengan menggunakan kaedah tembakan pelali.

Perhilitan mengambil masa 6 jam bagi melakukan operasi pemindahan gajah di Tanah Merah dengan dibantu anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. (Gambar Perhilitan)
TANAH MERAH:
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya memindahkan seekor gajah jantan liar berusia 30 tahun dari Kampung Air Kayam, Jedok hari ini.

Pengarahnya Ady Ermanty Hanif berkata, gajah itu dipindahkan selepas pihaknya melakukan tangkapan terhadap haiwan itu pada Rabu lepas apabila menerima aduan daripada penduduk kampung terbabit.

“Gajah jantan dengan saiz tapak kaki 18 inci dan dianggarkan seberat 3.5 tan itu ditangkap di kawasan kebun getah di kampung terbabit dengan menggunakan kaedah tembakan pelali.

“Sepanjang hampir seminggu gajah terbabit ditangkap, haiwan itu berada dalam keadaan sihat susulan pemantauan berterusan dilakukan oleh pihak kami,” katanya kepada pemberita di lokasi pemindahan gajah terbabit di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa selama 6 jam bagi melakukan operasi pemindahan gajah itu dengan dibantu oleh anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

“Kami menggunakan dua ekor gajah denak betina iaitu Rambai dan Abot yang datang khas dari PKGK sebelum dibawa naik ke atas lori untuk dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu.

“Gajah liar itu adalah gajah berkonflik kelapan berjaya ditangkap di daerah Jeli dan yang pertama di daerah Tanah Merah tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang memberikan kerjasama sepanjang operasi pemindahan itu.

“Masyarakat di negeri ini diharap tidak melakukan tindakan sendiri sekiranya terdapat haiwan liar atau kumpulan gajah yang melakukan konflik di kawasan mereka bagi mengelakkan sesuatu risiko berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.