RUU IPCMC dibentang di Dewan Rakyat 9 Mac tahun depan, kata Liew

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata, terdapat juga permintaan daripada polis dan badan tertentu yang mesti diteliti sebelum penambahbaikan RUU IPCMC dimuktamadkan.

KOTA KINABALU: 9 Mac tahun depan merupakan tarikh baru Dewan Rakyat akan membahaskan rang undang-undang (RUU) bagi membolehkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

RUU itu dijadual dibentang dan dibahaskan awal bulan ini, tetapi Liew meminta ia ditangguhkan selepas satu jawatankuasa pilihan Parlimen membuat cadangan baru untuk dimasukkan ke dalamnya.

Beliau berkata, 13 cadangan baru difailkan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk dipertimbangkan.

Katanya, beliau menerima cadangan itu pada 5 Dis, dan kerajaan perlu menelitinya bagi membuat penambahbaikan sebelum RUU itu dibentangkan semula.

“Jawatankuasa pilihan Parlimen mengemukakan 37 cadangan dan 24 daripadanya telah dimasukkan dalam pindaan awal.

“Baki 13 (cadangan lain) diberikan kepada saya pada 5 Dis, jadi kerajaan membuat keputusan untuk menelitinya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di sini selepas majlis pelancaran persidangan Parlimen olok-olok bagi orang muda di Universiti Malaysia Sabah hari ini.

Beliau sebelum ini berkata, penangguhan itu dibuat susulan perbincangan dengan Kabinet dan jawatankuasa Parlimen yang dipengerusikan oleh ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Terdapat juga permintaan daripada polis dan badan tertentu yang mesti diteliti sebelum penambahbaikan RUU IPCMC dimuktamadkan, katanya.

“Kita melihat tempoh 3 bulan dari sekarang dan kita akan kembali ke Parlimen untuk bacaan kali kedua pada 9 Mac tahun depan,” katanya.

Bacaan kali kedua RUU IPCMC yang ditangguhkan itu merupakan penangguhan yang kedua.

Liew dijangka membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada hari tersebut.

Pengumuman penangguhannya ketika itu disambut dengan sorakan “kita menang” oleh wakil pembangkang. Sebahagian mereka meminta RUU itu ditangguhkan.

Pada Okt, RUU berkenaan dirujukkan kepada jawatankuasa pilihan khas untuk kajian lanjut. Ia merupakan kali pertama undang-undang kerajaan dirujukkan kepada satu jawatankuasa pilihan.

RUU itu dibentangkan kali pertama pada 18 Julai. Ia bertujuan membuka jalan kepada penubuhan sebuah suruhanjaya bebas bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).