Saham Petronas: Menteri Sarawak bidas pemimpin DAP negeri

Menteri pelancongan Sabah Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Chong mencari ‘jalan keluar’ daripada janji pilihan rayanya untuk mengembalikan 20% royalti minyak dan 50% hasil cukai yang dikutip di Sarawak kepada kerajaan negeri.

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dibidas kerana meminta kerajaan negeri membeli saham dalam Petronas seperti dicadangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menteri pelancongan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Chong “memalukan” rakyat Sarawak, selain menambah bahawa pemimpin DAP itu mencari “jalan keluar” daripada janji pilihan rayanya untuk mengembalikan 20% royalti minyak dan 50% hasil cukai yang dikutip di Sarawak kepada kerajaan negeri.

“Maklumat terperinci kos untuk mendapatkan pegangan dalam Petronas tidak pernah dibincangan, tetapi Chong sudah meminta kerajaan negeri membelinya.

“Tidakkah beliau sedar bahawa Petronas yang ada hari ini adalah daripada hasil sumber minyak dan gas dari Sabah dan Sarawak?

“Kenapakah Sarawak perlu membeli pegangan daripada syarikat yang menjadi kaya dengan sumber yang diekstrak dari negeri itu,” katanya kepada FMT.

Jumaat lepas Chong dilaporkan berkata, idea supaya Sabah dan Sarawak membeli saham dalam Petronas adalah “baik” dan negeri berkenaan tidak harus melepaskan peluang untuk berbuat demikian.

“Cadangan supaya kerajaan Sabah dan Sarawak memiliki sebahagian daripada Petronas adalah baik kerana syarikat itu bukan sahaja memperoleh keuntungan daripada 2 negeri tersebut, tetapi juga daripada banyak operasinya di seluruh dunia,” katanya.

Dalam satu ucapan di Dewan Undangan Negeri pada 2017, Chong juga dilaporkan berjanji sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai kerajaan persekutuan, ia akan mengembalikan 20% daripada royalti ke atas pengeluaran minyak dan gas serta 50% daripada cukai yang dikutip di Sarawak kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun Putrajaya dan Petronas kemudiannya berkata, ia tidak dapat menambah bayaran royalti daripada 5% kepada 20%, dengan Mahathir berkata, bayaran royalti lebih tinggi akan “membunuh” Petronas.

Karim menyifatkan tawaran untuk menjual pegangan dalam Petronas kepada Sabah dan Sarawak sebagai satu “penghinaan” terhadap rakyat 2 negeri itu.

Semalam Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg juga dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri tidak bercadang untuk membeli saham dalam Petronas.

“Apa gunanya kami membeli saham?”, soalnya pada pelancaran satu acara di Bau dengan berkata, kerajaan negeri masih tidak mempunyai suara dalam menentukan bagaimana Petronas diurus.