Suhakam kritik Perlis, Kelantan kekalkan had umur perkahwinan kanak-kanak

Perlis dan Kelantan mengekalkan pendirian menetapkan had umur perkahwinan 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

PETALING JAYA: Negeri yang tetap mahu mengekalkan umur perkahwinan 16 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan 18 tahun bagi lelaki diingatkan supaya memikirkan kesan perkahwinan di awal usia.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Noor Aziah Mohd Awal berkata ketegasan kerajaan negeri dan Mahkamah Syariah diperlukan dalam mengekang perkahwinan di usia muda.

“Saya berharap semua negeri yang mahu mengekalkan umur perkahwinan kepada 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki perlu mengambil perhatian kesan perkahwinan muda kepada kanak-kanak.

“Apa yang lebih penting ialah menolak mana-mana permohonan perkahwinan bagi kanak-kanak yang di bawah 16 tahun,” katanya kepada FMT.

Beliau juga memandang serius keengganan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 untuk menaikkan umur perkahwinan 18 tahun kepada lelaki dan perempuan.

Baru-baru ini, Perlis mengumumkan negeri itu mengekalkan pendirian menetapkan had umur perkahwinan 18 tahun ke atas bagi lelaki, manakala 16 tahun ke atas bagi perempuan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Ruzaini Rais berkata, kelonggaran diberikan kepada mana-mana pasangan di bawah umur yang ditetapkan dan mendapat kebenaran secara bertulis daripada hakim syarie mahkamah syariah.

Jelas Ruzaini, garis panduan khusus berkaitan perkahwinan sudah dikuatkuasakan khususnya di Mahkamah Syariah, melalui garis panduan seragam dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sehingga kini Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Negeri Sembilan kekal dengan had minimum umur sedia ada di negeri masing-masing.

Manakala, Kerajaan Kelantan pula tetap tidak akan mengubah pendirian, dengan mengekalkan had usia perkahwinan iaitu 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki dalam usaha mengekang masalah sosial di negeri itu.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, berkata keputusan itu dibuat hasil persidangan meja bulat pada tahun lalu dengan merumuskan had usia perkahwinan yang dipersetujui selepas dibentangkan kepada exco.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Sisters in Islam (SIS) Majidah Hashim berkata, apa yang lebih penting dilakukan adalah keputusan yang dibuat haruslah memikirkan kepentingan dan hak kanak-kanak.

Kumpulan memperkasakan wanita Islam itu berkata demikian selepas kenyataan 19 November lalu yang membidas Wan Azizah Wan Ismail, apabila timbalan perdana menteri itu memaklumkan sukar membuktikan kesalahan seksual di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.