Tumpu tunai janji manifesto, bukan peralihan kuasa, Guan Eng beritahu ahli DAP

Tumpu tunai janji manifesto, bukan peralihan kuasa, Guan Eng beritahu ahli DAP

Lim juga meminta tiada siasatan dijalankan berhubung laporan mengenai nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan Arab.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang hari ini.
BUTTERWORTH:
Ahli DAP hari ini diingatkan agar tidak mempersoalkan isu peralihan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng berkata, anggota parti itu tidak sepatutnya membuang masa dengan isu peralihan kuasa perdana menteri sebaliknya harus menumpukan tenaga kepada menunaikan baki 40% janji manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Janganlah kita terperangkap dengan laporan media yang selalu suka buat muka depan lawan… bukan lawan musuh, tetapi lawan kawan. Janganlah ada pergolakan kuasa dalaman, ini hanya akan mencetuskan ketidakstabilan dalam kerajaan.

“Janganlah persoalkan peralihan kuasa ini yang telah pun diputuskan, biarlah kita tumpukan tenaga, perhatian ke atas menunaikan janji manifesto PH membangunkan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Lim berkata, isu peralihan kuasa perdana menteri telah diputuskan dan Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada Nov 2020.

Sebaliknya, Lim yang juga menteri kewangan mahu anggota parti itu menumpukan tenaga untuk mendengar suara rakyat dan buat kerja untuk rakyat.

“Kita pun ada masalah parti, dalaman parti sendiri, tapi biar kita bincang dalam sidang tertutup, bukan terbuka, setuju tak? Ini kerana apa yang berlaku di dalam parti lain akan melimpah dan kenakan kita juga… kita juga akan kena tempias,” katanya.

Sementara itu, Lim yang juga ahli Parlimen Bagan meminta agar tiada siasatan dijalankan berhubung laporan mengenai nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin dan Arab.

“Mengapa lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab tidak menjadi isu, tetapi bila dinyanyikan dalam Mandarin, jadi isu sehingga ada yang membuat laporan polis? Saya harap polis tidak menjalankan siasatan ke atas anak kita, biarkan mereka. Mereka tak ada salah.

“Mereka hanya mengikut teks yang disediakan oleh sekolah dan dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2014 dan diedarkan kepada semua sekolah pada 2015.

“Sebab itu saya rasa mereka ini hanya diberi peringatan bahawa Negaraku kena nyanyi dalam bahasa Melayu, tak perlu siasatan,” katanya.

Bagaimanapun Lim berkata, DAP tetap dengan pendirian bahawa lagu Negaraku perlu dinyanyikan dalam bahasa Melayu, bukannya bahasa lain.

Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang dihadiri 376 perwakilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.