Tuntutan wilayah paling rumit dalam rundingan MA63, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata, di antara Pahang dengan Sarawak terdapat kepulauan Natuna dan Riau yang dimiliki oleh Indonesia.

KOTA KINABALU: Hak wilayah kini merupakan isu kompleks dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, menurut seorang menteri pusat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata, isu berkaitan perairan wilayah dan tuntutan sempadan tidak mudah diselesaikan kerana ia melibatkan sejarah selama beberapa ratus tahun, termasuk penentuan sempadan oleh kerajaan kolonial British, pembentukan Malaysia, selain melibatkan Indonesia, Brunei dan Singapura.

Liew berkata, kesemua 21 isu berkaitan Perjanjian Malaysia yang dibangkitkan dalam jawatankuasa khas persekutuan telah diselesaikan.

Pertikaian berhubung royalti minyak antara kerajaan Sabah dan Sarawak dengan kerajaan persekutuan akan ditangani dalam mesyuarat eksklusif antara ketua menteri 2 negeri berkenaan dengan perdana menteri.

Liew berkata, 2 ketua menteri terbabit akan bertemu Dr Mahathir Isnin ini berhubung isu royalti minyak dan perdana menteri dijangka membuat pengumuman mengenai kemajuannya selepas itu.

Isu kewilayahan merupakan isu terakhir yang akan ditangani.

“Tahukah anda antara Semenanjung Malaysia dengan pulau Borneo terdapat beberapa pulau di tengahnya yang dimiliki oleh Indonesia, di tengah-tengah Laut China Selatan,” kata Liew kepada pemberita, dengan merujuk kepada kepulauan Natuna dan Riau yang terletak antara Pahang dan Sarawak.

LIew berkata, 3 negeri berkenaan dan peguam negara kini meneliti isu berkaitan bagi mengatasi persoalan tuntutan wilayah, yang mungkin melibatkan bayaran pampasan tertentu kepada negeri.

“Seperti saya katakan, tidak mudah untuk menyelesaikannya. Sesetengah kawasan ini diwujudkan oleh British, tanpa melupakan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia dan sesetangah sempadan pula diwujudkan beberapa ratus tahun dulu.

“Jadi peguam negara 3 negara terlibat perlu duduk berbincang mengenainya kerana ia melibatkan undang-undang dan hubungan diplomatik,” katanya.