AirAsia lantik Jun Aida ketuai AirAsia Japan

Jun Aida dilantik sebagai wakil pengarah dan ketua pegawai operasi AirAsia Japan Co. Ltd berkuat kuasa 1 Jan depan.

KUALA LUMPUR: AirAsia melantik Jun Aida sebagai wakil pengarah dan ketua pegawai operasi bagi mengetuai AirAsia Japan Co. Ltd, berkuat kuasa 1 Jan depan.

Jun akan mengambil alih jawatan itu daripada Jenny Mayuko Wakana yang akan meletakkan jawatan pada 31 Dis ini.

Sebagai ahli pasukan kepimpinan kanan AirAsia, Jun akan bertanggungjawab bagi operasi syarikat penerbangan tersebut di Jepun dan pertumbuhan masa depannya.

“Sebagai jurutera pesawat berpengalaman dan pengurus eksekutif, Jun memiliki pengalaman pengurusan yang luas dalam pelbagai industri.

“Kita melihat potensi amat besar di Jepun dan kini adalah masa untuk melonjakkan lagi AirAsia Japan ke fasa pertumbuhan dan kejayaan seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jun menyertai AirAsia Group sebagai penasihat kanan pada 2017. Sebelum menyertai AirAsia, beliau merupakan pengarah urusan Phoenix Resort Co, Ltd selain memegang jawatan pengurusan kanan dalam pelbagai syarikat multinasional termasuk Capcom USA, Square USA dan GAGA Communications.

Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan aeronautik daripada Northrop University di Amerika Syarikat (AS) dan lesen juruterbang persendirian dan mekanik pesawat daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA).