Angka korban gunung berapi NZ meningkat 18 orang

Walaupun pencarian baki 2 lagi mangsa yang telah dilakukan di kawasan darat dan laut tidak berjaya, namun pihak polis menegaskan mereka masih tidak berputus asa.

WHAKATANE: Angka kematian akibat letusan gunung berapi di White Island, New Zealand meningkat kepada 18 orang, selepas seorang mangsa warga Australia yang dihantar pulang ke Sydney meninggal dunia di hospital semalam.

Polis berkata, jumlah itu termasuk 2 lagi mayat yang masih belum ditemukan di pulau berkenaan, yang sudah memasuki seminggu sejak kejadian tersebut berlaku.

Pencarian awal pagi semalam gagal menemukan sebarang tanda mengenai kedua-dua yang masih hilang, dan penyelam kembali ke laut pada tengah hari kerana terdapat spekulasi mereka mungkin berada di dalam air.

Pesuruhjaya Timbalan Polis Mike Clement berkata terdapat kemungkinan kedua-dua mayat itu dibawa ke laut dari aliran sungai di mana kali terakhir mereka dilihat pada hari kejadian.

Beliau menambah, pasukan penyelamat telah melakukan pencarian di kawasan berhampiran jeti, tetapi tidak menemukan sebarang tanda mengenai kedua-dua mayat.

“Pasukan penyelamat kecewa, kami faham betapa kecewanya ahli keluarga dan orang disayangi yang mahukan kedua-dua mangsa kembali pada mereka,” kata Clement.

47 orang berada di White Island, yang merupakan tarikan pelancong popular di New Zealand, sewaktu letusan gunung berapi berlaku.

Seramai 26 orang mangsa terselamat ditempatkan di hospital-hospital di sekitar New Zealand dan Australia, dengan sekurang-kurangnya 18 orang dikategorikan sebagai kritikal.

Polis semalam mengeluarkan senarai nama 7 mangsa yang telah dikenal pasti secara rasmi, termasuk pemandu pelancong New Zealand, Tipene James Te Rangi Ataahua Maangi, 24.

4 orang merupakan warga Australia iaitu Zoe Ella Hosking, 15, Gavin Brian Dallow, 53, Anthony James Langford, 51, dan Karla Michelle Mathews, 32.

2 lagi iaitu Matthew Robert Hollander, 13, dan Berend Lawrence Hollander, 16, masing-masing merupakan warga Amerika Syarikat yang mempunyai taraf penduduk tetap Australia.

Clement berkata, walaupun pencarian baki 2 lagi mangsa yang telah dilakukan di darat dan laut tidak berjaya, namun mereka masih tidak berputus asa.

“Akan tiba masanya bila kita telah melakukan segala yang kita mampu, kita telah melakukan segala yang munasabah, tetapi ianya masih belum berhasil. Namun kita tidak berputus asa dengan mudah,” katanya.