Biro digabung, 543 pekerja NSTP dihentikan

Seramai 543 pekerja akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro akan kehilangan kerja selepas 12 Mac depan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seramai 543 pekerja New Straits Times Press (NSTP) akan kehilangan kerja selepas 12 Mac depan, susulan pelan rasionalisasi tenaga kerja yang dilaksanakan syarikat induknya, Media Prima Bhd.

Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) NSTP, Farah Marshita Abdul Patah berkata mereka yang terjejas termasuk pekerja daripada akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Katanya, 14 biro di seluruh negara akan dikurangkan kepada 6, dengan biro di pantai timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu), utara (Pulau Pinang, Kedah, Ipoh dan Perlis) serta selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) akan digabungkan.

Biro di Shah Alam dan Putrajaya juga akan digabungkan, manakala Sabah dan Sarawak dikekalkan.

“Akan ada 2 wartawan di setiap biro,” kata Farah kepada FMT.

Minggu lalu, FMT melaporkan kira-kira 600 pekerja dalam sebuah kumpulan berkaitan media terbesar di Malaysia akan diberhentikan Jumaat lalu, dengan separuh daripadanya ialah kakitangan akhbar harian.

Sumber dilaporkan berkata, ratusan pekerja yang akan kehilangan kerja meliputi pelbagai peringkat dan mereka tiada pilihan untuk merayu apabila surat menamatkan perkhidmatan diberikan kepada mereka.

Sebelum ini, beberapa syarikat media menutup atau mengecilkan operasi mereka yang menyebabkan ribuan orang kehilangan kerja sejak 3 tahun lalu.

Utusan Melayu yang diasaskan pada 1939 berhenti operasi pada 9 Okt lalu selepas lembaga pengarahnya meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang.

Ia selepas Utusan Melayu mengumumkan pelepasan 70% pegangan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Awal bulan lalu, Media Prima yang memiliki New Straits Times Press dan beberapa saluran televisyen, mengumumkan pengurangan pekerja yang menjejaskan ribuan orang.

Katanya, ia sebahagian daripada “penstrukturan semula” yang akan selesai pada suku pertama tahun depan.