Bukit Aman akan panggil saksi baru dalam siasatan kes serangan seksual Yusoff Rawther

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamad pada sidang media di IPK Selangor hari ini

SHAH ALAM: Bukit Aman telah merakam kenyataan 8 saksi berhuhubung siasatan dakwaan serangan seksual membabitkan Anwar Ibrahim ke atas Muhammed Yusoff Rawther.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamad berkata pihak polis juga akan memanggil beberapa lagi saksi untuk diambil keterangan.

“Seramai 8 saksi telah kita rakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Seterusnya ada beberapa lagi saksi yang perlu kita pangggil untuk rakam percakapan bagi membantu siasatan kes ini. Setakat ini itu sahaja untuk kes ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Selangor di Shah Alam hari ini.

Ketika ditanya berapa ramai saksi yang akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan, Huzir berkata, pihaknya tidak boleh memaklumkan secara spesifik kerana ia bergantung kepada siasatan.

“Beberapa orang kita tak boleh berikan bilangan spesifik, beberapa orang itu (saksi) adalah terbaik setakat ini.

“Mungkin hari ini ada 5 orang, esok tambah lagi enam orang.

“Sebab itu kita perlu siasat dulu, untuk mencari kebenaran SD (akuan berkanun) Yusoff,” katanya.

Mengulas kesediaan Yusoff menjalani ujin poligraf, Huzir berkata, pihaknya akan melakukannya jika ada keperluan.

Terbaru Yusoff, yang mendakwa Anwar melakukan serangan seksual terhadapnya, menyatakan kesediaan untuk menjalani ujian poligraf bagi membantu siasatan kes.

Peguamnya Haniff Khatri Abdullah berkata, walaupun mungkin ia (ujian poligraf) tidak diterima mahkamah, anak guamnya percaya ujian yang pernah digunakan agensi penguatkuasaan tempatan itu boleh membantu “melengkapkan siasatan mereka secara adil dan muktamad”.

“Beliau sanggup dan bersedia menjalani ujian poligraf pada bila-bila masa, tarikh dan tempat yang ditentukan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Yusoff juga tahu seperti ujian forensik lain, tiada peruntukan undang-undang khusus untuk melakukan ujian itu dalam siasatan jenayah, tetapi percaya dengan adanya teknologi sedemikian ia patut digunakan dalam siasatan ini untuk menyokong dakwaannya, selain akuan berkanun sukarela yang disahkannya pada 19 Nov 2019.” kata Hanif.