Laksana segera pilihan raya PBT di KL, kata peguam

PETALNG JAYA: Pakar perancangan dan kerajaan tempatan, Derek Fernandez menyokong pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur dilaksanakan segera seperti yang disenaraikan dalam resolusi Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Katanya, ketika ini tiada ahli dewan bandaraya yang mewakili pembayar cukai seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri lain.

Beliau berkata, Wilayah Persekutuan dikendalikan seorang individu yang tidak bertanggungjawab secara langsung kepada penduduk melalui pilihan raya langsung.

“Malah, datuk bandar Kuala Lumpur terikat kepada arahan menteri Wilayah Persekutuan,” katanya kepada FMT.

“Penumpuan kuasa kepada seorang individu tidak sejajar semangat tadbir urus baik. Ia turut bertentangan manifesto Pakatan Harapan untuk pendemokrasian kerajaan tempatan.”

Ketika ini, pilihan raya hanya diadakan bagi memilih ahli Parlimen dan Adun untuk mentadbir kerajaan persekutuan serta negeri.

Kerajaan negeri melantik ahli majlis untuk mengendalikan PBT, manakala menteri melantik datuk bandar dan 15 ahli untuk menganggotai lembaga penasihat.

Fernandez yang juga peguam, mencadangkan bandar besar lain seperti Petaling Jaya mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan lebih awal kerana mereka “sudah lama bersiap sedia”.

“Isu pilihan raya kerajaan tempatan sudah lama dimainkan.”

Katanya, pada zaman pemerintahan Barisan Nasional, Pakatan Harapan (PH) dan Pakatan Rakyat menyatakan ia hanya boleh dilakukan jika mereka menguasai kerajaan persekutuan.

Beliau mempersoalkan keazaman PH berbuat demikian sekarang kerana ia sudah mentadbir negara selama 19 bulan.

“Tidak dapat dipertikaikan tiada cukai patut dikenakan tanpa perwakilan, dan tiada alasan kukuh untuk tidak mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.”

Katanya, dakwaan ketidakseimbangan kaum yang dijadikan alasan sesetengah pihak untuk tidak mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan boleh diatasi sistem pemilihan calon parti.

Beliau berkata, ada banyak contoh perwakilan ikut kadar yang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh gunakan untuk memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, mengembalikan pilihan raya PBT ialah pendirian parti itu selama ini, walaupun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan tiada hasrat berbuat demikian.

Perdana menteri menyuarakan kebimbangan terhadap konflik perkauman dengan berkata, pilihan raya PBT mungkin mendatangkan “keputusan salah”.