
Kecuali Tangkak, 9 daerah yang terjejas ialah Mersing, Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Pontian, Batu Pahat, Kulai, Johor Bahru dan Muar.
Setakat 8 pagi tadi, bilangan mangsa yang dipindahkan ialah 9,151 orang. Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 9,043 orang pada 9.30 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, semua mangsa daripada 2,475 keluarga itu ditempatkan di 93 PPS.
“Kluang setakat ini mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 2,666 orang daripada 747 keluarga, diikuti Kota Tinggi 2,659 orang daripada 695 keluarga,” katanya.
Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca bahaya di daerah Mersing dan Kota Tinggi serta cuaca buruk di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, manakala amaran berwaspada di Tangkak.
Jalan Kampung Mawai Lama dan Jalan Dalam dekat Kota Tinggi ditutup kepada semua kenderaan, manakala Jalan Telok Arong di Mersing dibuka satu laluan untuk kenderaan ringan saja.
Di Pahang, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan banjir di Rompin semakin teruk dengan 1,003 orang daripada 256 keluarga dipindahkan ke 10 PPS pagi ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7 pagi tadi menunjukkan jumlah itu bertambah berbanding 858 orang daripada 232 keluarga yang ditempatkan di PPS malam tadi.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu mencatat bilangan mangsa teramai, iaitu 284 orang daripada 81 keluarga, SK Sarang Tiong (208 orang, 44 keluarga), PPS Kampung Setajam (187 orang, 51 keluarga), Balai Raya Rekoh (119 orang, 32 keluarga) dan Dewan Angkat Berat Rompin (44 orang, 11 keluarga).
Paras air Sungai Pukin di daerah itu melebihi paras waspada dengan bacaan terkini 44.06m (paras waspada 44m) dengan hujan diramal sepanjang hari ini.
Di Sarawak, 9 orang ditempatkan di PPS di Dewan Suarah, Marudi di Miri apabila rumah mereka di Kampung Padang Kerbau dinaiki air berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi.
Di Melaka, banjir pulih sepenuhnya dengan 13 orang daripada 3 keluarga yang dipindahkan di Alor Gajah dekat sini semalam, dibenarkan pulang ke rumah mereka 9 pagi tadi.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka, Effendy Ali berkata, PPS di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal, Bukit Balai, ditutup.
Cuaca di Melaka pagi ini cerah.