Peguam Umno kekal pengakuan tak bersalah terima RM15 juta dari Najib

Peguam Umno, Hafarizam Harun.

KUALA LUMPUR: Peguam Umno, Hafarizam Harun hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas 2 pertuduhan pengubahan wang kerana didakwa menerima RM15 juta daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

Pengakuan itu dirakamkan semula kerana kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hafarizam didakwa menerima 2 cek berjumlah RM15 juta dari Najib antara 16 April 2014 dan 12 Feb 2015 yang dimasukkan ke akaun anak guam firmanya ketika itu, Hafarizam Wan Aisha Mubarak.

Wang RM15 juta itu dikatakan ialah hasil aktiviti haram.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang 5 kali ganda daripada nilai aktiviti haram.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 8 hingga 25 Jun tahun depan untuk perbicaraan kes ini.

“Kita akan mempunyai 12 hari untuk perbicaraan, kecuali Jumaat.”

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu mahkamah kira-kira 30 saksi akan dipanggil, dengan sesetengah daripadanya pernah memberi keterangan dalam perbicaraan SRC Internarional Najib.

Sementara itu, peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Hafarizam memberitahu mahkamah, pihak pembelaan mahu lebih banyak maklumat mengenai pertuduhan itu menjelang minggu pertama bulan depan.

Bagaimanapun, Ashrof berkata, pihaknya hanya akan mempertimbangkan permintaan itu selepas menerima permohonan rasmi.

“Buat masa ini, kami kekal dengan pertuduhan itu.”