Persidangan perubahan iklim di Madrid berakhir dengan kekecewaan

Negara dengan pendekatan berbeza bagi menangani isu perubahan iklim gagal mengatasi perbezaan berkaitan kepentingan nasional masing-masing berhubung pengagihan pelepasan karbon global, integriti alam sekitar dan pembiayaan. (Gambar AP)

MADRID: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-25 (COP25) membuahkan kekecewaan dari segi jangkaan menerusi keputusan muktamad yang dikeluarkan pada Sabtu selepas rundingan berterusan dalam kalangan delegasi yang mengambil bahagian, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Perbincangan dilanjutkan 2 hari bagi membolehkan wakil 197 negara anggota PBB mencapai kata sepakat dalam keputusan muktamad selepas mesyuarat rasmi COP25 yang berlangsung dari 2 hingga 13 Dis.

Negara dengan pendekatan berbeza bagi menangani perubahan iklim gagal mengatasi perbezaan dalam kepentingan nasional berhubung isu pengagihan pelepasan karbon global, integriti alam sekitar dan pembiayaan.

Satu-satunya perkara penting dalam deklarasi akhir itu ialah penekanan terhadap langkah untuk merapatkan jurang pelepasan karbon antara negara anggota menjelang 2020.

Banyak organisasi alam sekitar menyifatkan COP25 sebagai “satu sidang kemuncak yang mengecewakan” dan “di bawah jangkaan.”

Persidangan tersebut dijadualkan berlangsung di Santiago, Chile, namun dipindahkan ke ibu negara Sepanyol, iaitu Madrid susulan kekacauan yang berlaku di ibu negara Chile itu.