Saham Media Prima tak berubah selepas buang lebih 500 pekerja

Media Prima Bhd dilaporkan merancang mengurangkan sehingga 1,500 pekerja. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Saham Media Prima Bhd tidak berubah setakat 11.40 pagi tadi susulan pengumuman pelan rasionalisasi tenaga kerjanya.

Sejak awal Oktober lalu, saham syarikat media itu mengalami penurunan ketara sebanyak 69.8% daripada 48 sen pada 1 Okt kepada 14.5 sen hari ini dengan 110,300 saham diniagakan.

Media Prima dalam satu kenyataan hari ini berkata, struktur operasi baru dan senarai pekerja terlibat ditentukan selepas beberapa rundingan dengan Kesatuan Sekerja Sistem Televisyen Malaysia Bhd, Kesatuan Eksekutif TV3, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) NSTP dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Akhbar.

“Pemakluman rasmi diberikan kepada semua kakitangan terlibat pada 16 Dis 2019 dan bayaran pampasan akan dibuat sepenuhnya selepas proses kawal selia dan dalaman selesai.

“Kumpulan memastikan pampasan yang adil dan saksama ditadbir oleh Akta Pekerjaan 1955, perjanjian kolektif kesatuan masing-masing dan kontrak pekerjaan; serta kumpulan juga akan menyediakan sokongan termasuk perkhidmatan penempatan keluar pekerjaan dan kaunseling kerjaya,” kata syarikat itu.

Syarikat itu dilaporkan merancang mengurangkan sehingga 1,500 pekerja.

Media Prima merupakan syarikat media ke-2 di negara ini yang berdepan masalah kewangan selepas akhbar berbahasa Melayu tertua negara, Utusan Malaysia menutup operasinya pada Oktober lalu.