Turki ancam tutup 2 pangkalan tentera AS

Hubungan antara Turki dan Amerika Syarikat dingin kebelakangan ini. (Gambar AP)

ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam mengancam untuk menutup 2 pangkalan tentera strategik yang digunakan oleh Amerika Syarikat (AS) di Turki, susulan amaran sekatan oleh Washington berhubung pembelian senjata oleh Ankara dari Rusia.

“Jika perlu, kita boleh menutup Incirlik dan kita boleh menutup Kurecik,” kata Erdogan di saluran televisyen prokerajaan A Haber. 2 pangkalan itu terletak di pantai barat daya Turki, berhampiran sempadan dengan Syria.

Erdogan sebelum ini kerap membangkitkan penutupan pangkalan tentera itu, terutama apabila timbul ketegangan antara kedua-dua negara.

Tentera udara AS menggunakan pangkalan udara di Incirlik sebagai lokasi berjaga-jaga untuk melakukan serangan ke atas pengganas IS di Syria. Pangkalan Kurceik pula menempatkan stesen radar utama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Menteri Luar Mevlut Cavusoglu membangkitkan isu pangkalan itu minggu lalu sebagai tindak balas kepada ancaman AS terhadap sekatan baru tersebut. Beliau memberi amaran akan melihat perkara itu secara serius.

Turki menghadapi sekatan AS berhubung keputusan negara itu membeli sistem pertahanan roket Rusia S-400, walaupun diberikan amaran oleh Washington.

Pada Jumaat lalu, Turki memanggil duta AS selepas Senat AS mengundi untuk mengiktiraf insiden pembunuhan beramai-ramai masyarakat Armenia di Ankara pada 1915 sebagai genosid. Rang undang-undang itu bagaimanapun masih belum ditandatangani oleh Presiden Donald Trump.

Armenia mendakwa 1.5 juta orang maut dalam pembunuhan itu. Turki mendakwa jumlah kematian adalah jauh lebih rendah dan rakyat negara itu juga turut terkorban, dengan alasan pembunuhan itu berlaku akibat Perang Dunia I.