Dituduh bawa masuk Pati, Warisan bidas Umno

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

KOTA KINABALU: Warisan membidas Setiausaha Agung Umno Annuar Musa kerana menuduh parti itu menggalakkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Sabah.

Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata Anuar perlu “bangun” dan sedar bahawa Umno yang sebenarnya melakukan perkara itu melalui Projek IC.

Projek IC dikatakan pemberian kewarganegaraan secara sistematik kepada Pati di Sabah pada 1980-an dan 1990-an.

“Sistem Umno yang sebenarnya merosakkan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Padua membalas hantaran Twitter Annuar 2 hari lalu, yang menyalahkan Warisan atas kemasukan Pati ke Sabah.

Annuar menambah bahawa Pati diberikan pas sementara, merujuk kepada Pas Sementara Sabah (PSS), dan mendakwa mereka diberikan kad pengenalan untuk membolehkan mereka mengundi.

Beliau juga menuduh kerajaan Sabah tidak adil kepada rakyat negeri itu.

Padua berkata kerajaan negeri yang dipimpin Warisan cuba menyelesaikan masalah dicipta Umno yang membebankan rakyat selama ini.

“Adakah Umno masih menyembunyikannya dan menuduh kerajaan yang dipimpin Warisan? Terus-terang, saya fikir pentadbiran lalu tidak layak bercakap tentang isu Pati kerana mereka gagal menyelesaikan masalah tersebut ketika berkuasa, “katanya.

“Annuar hanya datang ke Sabah kerana pilihan raya kecil di Kimanis dan cuba menjual isu murahan, setiap masalah di Sabah sekarang adalah berpunca daripada Umno-Barisan Nasional.

“Sebagai pemimpin kanan, dia sepatutnya melakukan sesuatu yang lebih baik daripada memalukan dirinya. Jangan buat rakyat Sabah bodoh, “kata Padua.