KSN tepis laporan ‘tidak benar’ 5 KSU dijangka ditukar

SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar menafikan akan berlakunya pertukaran beberapa ketua setiausaha (KSU) kementerian dalam masa terdekat.

Beliau berkata laporan berhubung perkara itu yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita semalam tidak benar dan hanya berupa persepsi sesetengah pihak.

“Itu semua persepsi,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-28 hari ini.

Beliau mengulas laporan 5 KSU dijangka ditukarkan pada hujung tahun ini bagi melancarkan lagi operasi kementerian terlibat.

Dalam ucapan perasmiannya pada konvensyen tersebut, Ismail mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa patuh kepada kerajaan semasa tanpa mengira parti mana yang mentadbirnya.

“Kita sebagai penjawat awam yang dilantik sudah berikrar kita mesti patuh kepada kerajaan untuk membina bangsa dan negara yang cemerlang pada masa akan datang.

“Integriti mesti dikekalkan…sebagai pelaksana, kita jalankan tugas dengan berintegriti supaya rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya.