Mahkamah Pakistan jatuh hukuman mati ke atas Pervez Musharraf

KARACHI: Sebuah mahkamah khas di Islamabad pada Selasa menjatuhi hukuman mati ke atas bekas pemerintah tentera Pakistan Jeneral Pervez Musharraf, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Peshawar Waqar Ahmad Seth, membuat keputusan itu selepas mendapati Musharraf bersalah dalam kes melakukan penderhakaan serius.

Pada Mac 2014, Musharraf dituduh melakukan penderhakaan serius kerana melaksanakan pemerintahan darurat dan menggantung perlembagaan pada 2007.

Pada Ogos 2017, beliau diisytiharkan sebagai “orang yang melarikan diri” oleh mahkamah antikeganasan Pakistan dalam keputusan kes pembunuhan Benazir Bhutto pada 2007, yang memegang jawatan perdana menteri sebanyak 2 kali.

Mahkamah, dalam penghakiman ringkas pada Selasa, berkata selepas menganalisis aduan, rekod, hujah dan fakta kes itu selama 3 bulan, ia mendapati Musharraf bersalah melakukan penderhakaan serius menurut Perkara 6 Perlembagaan Pakistan.

Ia keputusan majoriti, dengan 2 daripada 3 hakim membuat keputusan untuk mensabitkan Musharraf.

Musharraf, bekas jeneral 4 bintang, mentadbir negara itu sebagai presiden dari 2001 sehinggalah beliau meletak jawatan pada 2008 bagi mengelak pemecatan.