MTUC ada hak bantah, sokong undang-undang buruh, kata menteri

M Kulasegaran ketika ditemui media pada program Hari Bertemu Pelanggan, hari ini.

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia berkata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan MTUC Sarawak mempunyai hak untuk membantah atau menyokong pindaan Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967.

Menterinya, M Kulasegaran berkata Rang Undang-Undang tersebut akan tetap dibentangkan di Dewan Negara minggu ini.

“Ada lah (yang bantah selain MTUC), ada banyak yang sokong juga. Ada 62 kesatuan. Tapi tak apa lah itu proses demokrasi.

“Bila bercakap tentang MTUC, kita ada MTUC dari Sabah dan Sarawak. Semalam, MTUC Sarawak lebih kurang 50 orang, mereka pergi ke Senat memberi sokongan tapi tak apa lah, itu pandangan mereka. Ini proses demokrasi.

“Kerajaan juga ada kewajipan untuk rakyat. Sudah disenaraikan di Senat dan saya difahamkan akan dibentangkan minggu ini,” katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan, hari ini.

Sebelum ini, MTUC mendakwa kerajaan tidak merujuk pihaknya apabila membentangkan pindaan APP 1967 di Dewan Rakyat, Oktober lalu, namun kenyataan itu dinafikan Kulasegaran.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyifatkan pindaan itu akan mengancam solidariti kesatuan pekerja kerana akan menyebabkan wujud banyak kesatuan dalam satu tempat kerja.

Dalam pada itu, Kulasegaran akui kerajaan tiada masalah untuk mendengar pandangan mana-mana pihak berhubung pindaan tersebut.

“Kita setuju untuk mendengar daripada sesiapa pun, kita tak kisah tapi keputusan untuk membawa pindaan undang-undang adalah tertakluk kepada kehendak kerajaan juga.

“Kabinet perlu membuat kelulusan itu yang mustahak, lepas itu kita bawa ke Parlimen.

“Ini prosesnya, jadi sesiapa yang menentang, bersetuju terpulang kepada mereka,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan pindaan RUU itu akan diluluskan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat.

Difahamkam terdapat 32 pindaan APP 1967 dicadangkan oleh Kulasegaran di mana 18 daripadanya melibatkan pekerja.