Serendah 50 sen jualan gudang buku Utusan tidak harus dilepaskan!

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli buku di gedung Utusan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ketika ini, ramai hilang pekerjaan terutamanya dalam industri media.

Jika sebelum ini, kita semua dikejutkan dengan pengumuman penutupan syarikat yang bertahan selama lapan dekad iaitu Utusan Melayu yang mempunyai 800 staf, semalam NSTP pula menamatkan 543 pekerjanya bermula 12 Mac tahun depan.

Mereka yang terjejas termasuk pekerja daripada akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Manakala Utusan Melayu yang diasaskan pada 1939 pula menghentikan operasinya pada 9 Oktober lalu selepas lembaga pengarahnya meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang.

Pelbagai genre buku yang dijual di gedung Utusan.

Utusan Melayu mengumumkan pelepasan 70% pegangan dalam anak syarikatnya, Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Susulan itu, pihak Utusan bertindak menjual kesemua buku-buku yang diterbitkan sebelum ini sehingga akhir bulan Disember.

Pengunjung yang hadir, Etha Baharom membeli dua troli buku sebagai rujukan.

Ramai yang merebut kesempatan ini untuk membeli buku dengan harga serendah 50 sen, tetapi ada juga pengunjung yang datang dengan membawa 1001 kesedihan.

Menurut pasangan suami isteri Raduan Nordin, 47 dan Etha Baharom, 43 mereka berkongsi minat yang sama iaitu mengumpul koleksi buku dengan genre yang berbeza.

“Saya dan suami mempunyai minat yang sama iaitu membaca buku tetapi genre yang kami minat adalah berbeza. Saya suka buku yang berunsur motivasi, suami pula suka pada buku perjuangan tokoh sejak zaman Tun Razak dulu.

Etha seorang blogger, menggunakan buku tersebut sebagai bahan motivasi untuk dirinya dan masyarakat.

“Kita pun dah tahu nak datang bukan selalu, tapi bila dah sampai kami pasti akan cari buku yang kami inginkan,” katanya kepada FMT.

Namun di sebalik kunjungan itu, pasangan suami isteri ini juga mempunyai niat yang lain.

Memandangkan Utusan merupakan sebuah organisasi yang berdiri megah sejak lapan dekad lalu, bagi Etha inilah masanya untuk anak mereka mengenal syarikat media Melayu yang telah bertapak sebelum merdeka lagi sebelum ia lupus sepenuhnya.

“Saya, suami dan anak terpacak di sini sejak 7.45 pagi tadi, memang semangat nak tunjuk Utusan pada anak-anak walaupun hujan daripada pagi. Benar, saya dan suami sempat merasa dan mengenali Utusan sejak kecil, malah memang kita ikuti perkembangannya sejak dulu. Tapi generasi akan datang memang dah tak sempat kenal Utusan.

Pengunjung, Raduan Nordin membeli buku berkaitan perjuangan.

“Saya sedih sangat, saya sangat terkilan. Jadi saya bawa semua anak saya merasa inilah akhbar yang dulunya ibu dan ayah baca,” katanya sambil mengesatkan air matanya.

Sememangnya mengumpul bahan-bahan ilmiah ini merupakan hobi Etha dan suaminya, malah ketika ditemubual dua troli mereka sudah dipenuhi dengan pelbagai buku yang dianggarkan lebih 100 buah buku untuk mereka berdua serta anak-anak membaca.

“Saya merupakan suri rumah dan saya juga merupakan seorang blogger yang banyak menulis tentang motivasi untuk masyarakat di luar sana. Jadi saya akan gunakan buku-buku ini sebagai rujukan untuk saya.

Buku bergenre agama, pendidikan kanak-kanak dan Informatif antara yang dijual di gedung Utusan.

“Manakala suami pula berniaga sendiri, namun mempunyai perjuangan yang mendalam tentang politik. Jadi jika membeli buku tentang perjuangan Tun Razak dengan harga RM25, ia masih lagi berbaloi,” ujarnya lagi.

Seorang lagi pengunjung dari Kedah, Huzwahanis Wahab, 37 datang ke Kuala Lumpur semata-mata ingin berkunjung ke gudang tersebut bagi membeli buku-buku ilmiah untuk kegunaannya sebagai seorang guru.

Pengunjung boleh membeli buku yang dijual sehingga hujung Disember ini.

“Sayang kalau buku-buku ilmiah ini dilupuskan begitu sahaja. Memang betul, baiklah mereka jual kepada masyarakat, ramai lagi akan membeli dan menghargainya.

“Saya sendiri dengan anak kecil sanggup datang dari Kedah semata-mata ingin mencari buku yang bersesuaian dengan kami dan sekolah tahfiz di Kedah,” ujarnya.

Sejak awal Disember, jualan tutup gudang buku diadakan untuk menjual semua naskah buku yang pernah diterbitkan syarikat tersebut.

Buku-buku itu ditawarkan dengan harga serendah 50 sen sehingga RM25.

Antara buku yang dijual adalah tentang agama, pendidikan kanak-kanak dan dewasa, novel, fesyen dan masakan serta banyak lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]