‘VVIP’ pernah bertemu Azilah, dakwa Shafee

PUTRAJAYA: Peguam Najib Razak mendakwa “beberapa individu” pernah mengunjungi bekas pegawai polis, Azilah Hadri, yang berdepan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dalam cubaan memujuk dia membabitkan bekas perdana menteri itu dalam kematian wanita itu pada 2006.

Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau mempunyai “maklumat yang boleh dipercayai” bahawa Azilah pernah bertemu seorang “VVIP” di luar Penjara Sungai Buloh sejak Februari.

“Saya tidak mahu beritahu siapa orang itu atau adakah dia seorang ahli politik,” katanya selepas menghadiri permohonan semakan kes pembunuhan Azilah di pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Najib memohon untuk mencelah semakan Azilah terhadap pensabitan bunuh. Bekas komando Unit Tindakan Khas itu juga membuat satu akuan berkanun (SD) untuk permohonan itu.

Azilah mendakwa arahan bunuh Altantuya itu daripada Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Najib menepis dakwaan Azilah, mengatakan ia “langkah terdesak” oleh seseorang yang menghadapi hukuman mati.

Shafee mendakwa beliau tahu pertemuan antara Azilah dan beberapa individu itu berlaku di luar penjara, mengatakan ia melanggar protokol peraturan penjara.

Beliau berkata terdapat juga “2 hingga 3” individu cuba memujuk bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia membuat kenyataan sama seperti dakwaan Azilah.

Sirul lari ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskan dia dan Azilah daripada tuduhan membunuh Altantuya pada 2013. Pembebasan mereka diterbalikkan Mahkamah Persekutuan pada 2015.

“Saya tidak boleh dedahkan siapa mereka itu tetapi mereka ‘ejen’ kerajaan Malaysia dan seorang wartawan,” dakwa Shafee, dan menambah ia satu “usaha yang selaras” (coordinated),” katanya.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan semakan Azilah pada 20 April tahun depan.

Peguam, J Kuldeep Kumar mewakili Azilah dalam permohonan itu.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.

Abdul Razak Baginda, yang ketika itu pembantu Najib, dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.