Ahli Parlimen PH akui sukar perjuang isu hak asasi manusia

Ahli Parlimen PH akui sukar perjuang isu hak asasi manusia

PH mempunyai banyak halangan terutama melibatkan blok pembangkang dan pihak polis.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mengakui Pakatan Harapan (PH) berdepan kesukaran dalam membawa isu berkisar hak asasi manusia ke persidangan Parlimen.

Beliau berkata PH mempunyai banyak halangan terutama melibatkan blok pembangkang dan pihak polis.

“Saya setuju, kami tidak buat yang terbaik untuk situasi hak asasi manusia.

“Ianya satu perjuangan bagi saya,” katanya dalam sesi bual bicara di Badan Peguam Malaysia, malam tadi.

Maria menjelaskan situasi memperjuangkan isu hak asasi manusia seolah-olah mencampuri urusan pihak polis.

“Mereka (polis) telah berjaya selama 60 tahun ini.

“Mereka telah menjadikan situasi hak asasi manusia sebagai ‘wilayah’ mereka sendiri.

“Jadi, ada halangan ada di situ,” katanya sambil menambah PH banyak menghabiskan masa berhujah mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan pasukan tersebut.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew View Keong memberitahu penangguhan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-undang (RUU) IPCMC ke sidang Dewan Rakyat seterusnya pada Mac depan bagi mendapatkan lebih banyak pandangan pihak yang tebabit.

Dalam tempoh 3 bulan itu, kata Liew, pihaknya akan menambah baik RUU tersebut berdasarkan dapatan daripada perbincangan dengan pihak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Maria turut mengakui PH tidak berupaya mengawal api kemarahan netizen yang tercetus disebabkan beberapa isu termasuk ceramah kontroversi Dr Zakir Naik, perselisihan faham dalam isu seni tulisan khat dan yang terbaru, nyayian lagu Negaraku dalam bahasa selain Bahasa Kebangsaan.

“Ianya api pergaduhan.

“Situasi kami sekarang, kami harus fikir macam mana hentikan pergaduhan ini.”

Tambahnya, pihak yang sering mendapat tohmahan daripada pergaduhan itu adalah rakan seperjuangannya dari DAP.

“Mereka digelar komunis, orang bukan Islam yang cuba ambil alih negara dan macam-macam dakwaan.

“Saya rasa simpati. Kerana kami tak tahu dari mana datangnya dakwaan-dakwaan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.