Anifah tak bertanding Kimanis, kata Kitingan

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar negeri Anifah Aman tidak akan bertanding pilihan raya kecil Parlimen Kimanis, kata pemimpin pembangkang Sabah, Jeffrey Kitingan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu memaklumkan FMT bahawa bekas ahli Umno itu tidak menyertai pilihan raya itu selepas perbincangan mereka bersama parti-parti pembangkang Sabah yang lain baru-baru ini.

“Beliau beritahu kami dia mahu bertanding pada pilihan raya umum ke-15.

“Beliau berada di luar negara sekarang tetapi akan pulang sebelum hari penamaan. Buat masa sekarang, nampaknya dia tidak bertanding – itu yang diberitahu pada kami,” katanya.

FMT sedang mendapatkan komen Anifah.

Anifah menang kerusi itu pada pilihan raya umum 2018 atas tiket Barisan Nasional, menewaskan calon Warisan, Karim Bujang.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya mendakwa terdapat perkara tidak kena. Mahkamah Pilihan Raya memberikan keputusan yang memihak kepadanya dan membatalkan keputusan PRU bagi kerusi tersebut.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan. Anifah sudah memohon semakan keputusan Mahkamah Persekutuan, mengatakan terdapat berat sebelah dalam panel hakim yang mendengar kesnya.

Sementara itu, Kitingan berkata partinya yang sebelum ini tidak mahu bertanding kerusi Kimanis kini memikirkan semula keputusan itu selepas ahli-ahlinya dan penyokong berkeras mereka ada peluang menang jika meletakkan calon.

“Kami pernah putuskan untuk tidak sertai pemilihan itu tetapi dalam perbincangan dalaman kami, sentimen di lapangan tidak sama, jadi kami perlu dengar. Ramai yang mendesak kami bertanding,” katanya.

“Kami sedang pertimbangkan – kita akan tahu dalam 1 minggu ini,” katanya.

Beliau menambah partinya perlu menjalankan tinjauan di lapangan dan analisis di Kimanis, di mana pengundinya kebanyakannya daripada masyarakat Bumiputera beragama Islam.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata STAR boleh memanfaatkan perpecahan undi antara Warisan dan Umno dalam masyarakat itu, yang membentuk lebih 50% daripada kira-kira 30,000 pengundi di Kimanis.

“Kita sebenarnya ada peluang – masyarakat Kadazandusun Murut membentuk 40% hingga 45% pengundi. Kita perlu 10% hingga 20% undi daripada Bumiputera beragama Islam untuk menang,” katanya.

Beliau berkata Parti Bersatu Sabah sedang menilai situasi itu dan belum memutuskan adakah akan meletakkan calon.

Presiden Parti Maju Sabah, Yong Teck Lee berkata partinya tidak akan menyertai pemilihan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 18 Jan.