Mahkamah benar pasport Shafee dipulangkan sementara

Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau ke Perth, Australia atas urusan kerja.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada Shafee, 66, yang mewakili dirinya dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

“Setelah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak saya bersetuju dengan pemohon (Shafee) bahawa tidak ada elemen untuk beliau melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau membenarkan permohonan Shafee dan memerintahkan peguam itu memulangkan pasport selewat-lewatnya pada 26 Dis ini selepas pulang dari Perth.

Terdahulu, dalam hujahannya Shafee memohon supaya pasportnya dipulangkan sementara bagi membolehkan beliau ke Perth mulai 21 Dis sehingga 24 Dis ini atas urusan kerjanya sebagai peguam.

“Saya ada satu kes di Sydney, Australia, membela seorang warga Malaysia dari Johor Bahru dan saya terpaksa temuduga 2 saksi iaitu pasangan suami isteri yang berada di Perth, difahamkan mereka berada di sana dari 19 Dis sehingga 15 Jan depan bagi menyambut perayaan Krismas.

“Sebelum ini, semua permohonan saya untuk dapatkan pasport dibenarkan oleh mahkamah kecuali 1 permohonan yang ditolak hakim (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) Collin Lawrence Sequerah pada 14 Mei 2019. Namun saya telah membuat rayuan dan keputusan dikembalikan oleh Mahkamah Rayuan yang memutuskan tidak ada langsung unsur melarikan diri,” katanya.

Afzainizam pula membantah permohonan Shafee atas alasan peguam itu berdepan pertuduhan yang sangat serius.

Sehubungan itu beliau memohon mahkamah menggunakan budi bicara dalam membuat keputusan berdasarkan keseriusan kesalahan yang dihadapi oleh peguam tersebut.

Pada 13 Sept tahun lepas, Shafee mengaku tidak bersalah menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 Sept, 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Feb, 2014.

Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau sehingga penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Shafee juga berdepan 2 pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 3 Mac, 2015 dan 29 Jun, 2015.

Bagi kesalahan itu, Shafee berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari 5 kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.