
Ito, 30, menuntut ganti rugi sebanyak 11 juta yen (AS$100,000) daripada Noriyuki Yamaguchi, mendakwa lelaki itu memperkosa dirinya selepas mengundangnya untuk makan malam bagi membincangkan peluang pekerjaan pada 2015.
Kes itu menjadi berita utama di Jepun dan luar negara, kerana jarang mangsa rogol melaporkan jenayah itu kepada polis. Menurut tinjauan kerajaan pada 2017, hanya 4% wanita yang berani tampil ke hadapan.
Dan Ito menjadi simbol lantang kempen “#MeToo” di Jepun, gerakan bagi membangkitkan kesedaran dan keberanian mereka yang diperlakukan dengan serangan dan gangguan seksual.
Yamaguchi menafikan sebarang salah laku dan memfailkan saman balas terhadap Ito, dengan memohon ganti rugi sebanyak 130 juta yen. Mahkamah juga akan memutuskan kes tersebut pada hari ini.
“Dalam budaya Jepun, penderitaan dalam diam dianggap sebagai mulia,” kata Ito kepada AFP dalam temu bual baru-baru ini.
“Saya dihujani dengan penghinaan dan ancaman, tetapi yang paling terkesan ialah emel yang diterima daripada golongan wanita mengatakan betapa saya terpaksa menanggung malu kerana mendedahkan segala-galanya,” katanya.
Ito mengesyaki Yamaguchi telah memberikannya dadah dan mendakwa polis gagal menguji bahan tersebut.
“Apabila kembali sedar, dalam kesakitan yang teruk, saya berada di bilik hotel dan dia berada di atas saya, saya tahu apa yang berlaku tetapi saya tidak dapat memprosesnya,” katanya.
Polis yang mengambil masa beberapa minggu untuk memulakan siasatan, memberitahu Ito akan menangkap Yamaguchi, namun mereka secara tiba-tiba menarik diri daripada kes itu.
Ito yang selama ini mendiamkan diri, mengeluarkan buku mengenai kisahnya itu pada 2017.
Yamaguchi menganggap reputasinya rosak disebabkan tuduhan tersebut.
Jepun menaikkan hukuman penjara minimum untuk kesalahan rogol dari 3 tahun kepada 5 tahun dan meluaskan definisi mangsa serangan seksual termasuk kepada kaum lelaki buat kali pertama pada 2017.
Ahli Parlimen memutuskan sebulat suara untuk mengemaskini undang-undang yang dibuat pada 1907 dengan mengenakan hukuman lebih keras terhadap penyerang seksual dan membuat pendakwaan menjadi lebih mudah, bagi meningkatkan bilangan mangsa tiada keberanian untuk tampil ke hadapan.