
Azilah, yang disabitkan membunuh Altantuya dan dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, mendakwa Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, memberi arahan untuk membunuh wanita itu.
“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas solat Jumaat minggu ini,” kata Najib di Facebook hari ini.
Bekas pegawai Unit Tindakan Khas itu membuat akuannya untuk permohonan semakan kes pembunuhannya di Mahkamah Persekutuan.
Najib menepis dakwaan Azilah, mengatakan ia “langkah terdesak” oleh seseorang yang menghadapi hukuman mati.
Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan.
Seorang lagi bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar lari ke Australia selepas Mahkamah Rayuan membebaskan dia dan Azilah daripada tuduhan membunuh Altantuya pada 2013. Pembebasan mereka diterbalikkan Mahkamah Persekutuan pada 2015.
Abdul Razak Baginda, yang ketika itu pembantu Najib, dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul tetapi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.