Kes penghantar surat terlibat LTTE dipindah ke Mahkamah Tinggi

S Teeran didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE. (Gambar Bernama)

SEGAMAT: Kes seorang penghantar surat yang berdepan tuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Hakim Rasidah Roslee membenarkan kes terhadap S Teeran, 38, itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas menerima permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara Putrajaya, Mohd Firdaus Abu Hanipah.

Permohonan tersebut dibuat pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di mahkamah tinggi berkenaan.

Dalam prosiding itu, peguam tertuduh A Mathan juga memohon secara lisan jaminan terhadap anak guamannya namun ditolak oleh mahkamah.

Ini kerana Mahkamah Sesyen tiada budi bicara untuk memberi jaminan, mendengar dan membicarakan kes kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi manakala pihaknya hanya untuk menguruskan kes, kata Rasidah.

“OKT (tertuduh) boleh memohon jaminan, tiada masalah. Namun seeloknya dibuat di Mahkamah Tinggi kerana di sini hanya untuk menguruskan kes,” kata Rasidah dalam penghakimannya.

Pada 29 Okt lepas, Teeran yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di bandar ini, dituduh memiliki barangan berunsurkan perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 6.30 petang di alamat Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai, 10 Okt lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130 JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item berkenaan.