Mural tertinggi di Kuala Lumpur catat rekod dalam Malaysia Book of Records

Banyak mural yang anda pernah jumpa di mana-mana negeri mempunyai maksud tertentu.

Contohnya di Pulau Pinang, Ipoh dan Melaka kaya dengan mural dinding yang menjadi tarikan pengunjung.

Selain itu, ia memperlihat yang kawasan tersebut menarik kerana dihiasi dengan warna yang pelbagai di dindingnya.

Bagi anda yang masih lagi tidak tahu, di Kuala Lumpur juga terdapat keistimewaan mural tersendiri sehingga tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Ia dilukis dengan megah di hotel Butik 4 Bintang yang diberi nama RED by Sirocco, terletak di Menara M101 Dang Wangi, Jalan Kamunting.

Hotel itu mempunyai 25 tingkat, dengan kedudukan yang strategik dan berhampiran dengan tempat tarikan utama di Kuala Lumpur seperti KLCC, Petaling Street, Nu Sentral dan Pavilion membuatkan hotel tersebut sering dikunjungi oleh pelancong.

Dihasilkan seorang pelukis grafiti dari Sabah yang bernama Kenji Chai, beliau mengambil masa 10 jam untuk mengecat mural tersebut setiap hari dan menyiapkannya dalam masa kurang daripada sebulan.

Katanya, beliau ingin mempersembahkan budaya Malaysia yang unik dan pelbagai melalui mural ini.

Mural ini berjudul Courage To Dream dengan memaparkan seorang wanita Dayak, flora dan fauna yang terdapat di Malaysia serta makanan tempatan di negara ini.

Selain itu mural Dayak itu juga dilukis bersama gambar bunga raya yang sememangnya bunga kebangsaan Malaysia yang menjadi keindahan alam tropika di negara ini.

Lea Chan. (Gambar prestigeonline.com)

Gambar ikan yang dilukis pada mural itu juga menggambarkan bersantai dengan penuh kebebasan, sementara lukisan makanan yang dipamerkan bermakna Malaysia dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan mengikut citarasa pelbagai bangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif hotel tersebut, Lea Chan berkata ini merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh pihaknya bagi meraikan seni tempatan.

“Kami percaya dengan bakat artis tempatan dan itu menjadi penyebab mengapa kami memutuskan untuk bekerja dengan Chai bagi menghasilkan mural tersebut,” katanya kepada FMT.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]