Rakyat Malaysia masih berpersepsi negatif terhadap pekerja asing, kata laporan ILO

Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyimpulkan kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan terhad tentang pekerja asing.

PETALING JAYA: Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati rakyat Malaysia masih mempunyai persepsi salah dan negatif terhadap pekerja asing dan sokongan yang diberikan terhadap hak mereka masih berada di tahap rendah.

Kebanyakan 1,009 responden yang bekerja dengan pekerja asing yang memiliki kadar jenayah tinggi, berkata mereka percaya kehadiran warga asing itu memberi kesan negatif terhadap ekonomi, budaya dan warisan negara.

Pejabat ILO rantau Asia Pasifik menjalankan tinjauan 2019 terhadap sikap orang awam kepada warga asing di Malaysia, dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Wanita Rantau Asia dan Pasifik.

Laporan itu menyimpulkan kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan terhad tentang pekerja asing.

Hanya 31% responden percaya warga asing mempunyai kesan positif terhadap ekonomi negara walaupun 53% berkata Malaysia memerlukan mereka untuk kerja manual rutin.

Kebanyakan mereka tidak bersetuju warganegara dan pekerja asing perlu menikmati layanan sama di tempat kerja, dengan 74% menyatakan keadaan kerja harus berbeza dan 58% menyatakan gaji serta faedah tidak sepatutnya sama.

Lebih separuh (59%) meminta undang-undang diperketatkan bagi menyukarkan lagi warga asing bekerja di negara ini dan 65% menyatakan mereka tidak sepatutnya dibenarkan menyertai kesatuan sekerja.

Laporan itu bagaimanapun menyatakan ramai responden mempunyai niat untuk melakukan tingkah laku menyokong seperti melapor majikan yang menggajikan pekerja asing kanak-kanak (55%), berkata tentang sumbangan positif pekerja asing kepada rakan-rakan (36%), membantu pekerja asing menjadi sebahagian komuniti (22%) dan menegur mereka yang bercakap kasar dengan warga asing (22%).

Selain itu, ramai responden menyokong gerakan untuk menamatkan keganasan terhadap pendatang asing wanita. Kira-kira 82% berkata perlu ada penguatkuasaan undang-undang lebih tegas untuk melindungi pekerja asing wanita.

Bagaimanapun, kajian itu mendapati sokongan terhadap pendatang asing wanita tidak mencerminkan dasar dan undang-undang negara.

“Contohnya, tinjauan mendapati 62% rakyat Malaysia mengatakan pekerja asing wanita harus mempunyai cuti bersalin. Hakikatnya pekerja asing wanita ditamatkan kerja dan dihantar balik ke negara asal jika mereka hamil.”

Dalam seksyen mengenai pekerja pembantu rumah, laporan tersebut menyatakan bahawa responden tidak menghiraukan keadilan terhadap hak mereka.

“Malah, Akta Kerja Malaysia (1955) mengklasifikasikan pembantu rumah sebagai ‘hamba’ dan mengecualikan mereka daripada banyak langkah perlindungan yang diberikan di bawah undang-undang untuk pekerja lain. Mereka tidak berhak mendapat cuti berbayar, hari rehat, menetapkan jam kerja, cuti sakit, masa rehat atau perlindungan bersalin. ”

Laporan itu juga berkata responden yang memiliki pembantu rumah menyediakan kemudahan kerja kepada mereka, yang sering diberikan ialah cuti bergaji, cuti sakit dan cuti hari minggu. Bagaimanapun 13% berkata mereka tidak menyediakan langsung apa-apa kemudahan kerja.

Laporan itu menggesa pembaharuan dalam dasar imigresen yang antara lain memasukkan sokongan sosial.

“Majikan dan kesatuan sekerja juga boleh mempromosikan hak pekerja asing untuk menggalakkan inklusiviti di tempat kerja,” katanya.

Laporan itu turut mencadangkan agar kerajaan, kesatuan sekerja dan pihak berkepentingan, termasuk pengendali pekerja pembantu rumah, mengendalikan “kempen publisiti berasaskan bukti” untuk meningkatkan kesedaran mengenai nilai kerja rumah dan hak-hak pembantu rumah.