Tiada satu pun negara Islam dianggap maju, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata tiada satu pun negara Islam dianggap maju walaupun sangat mewah.

Beliau berkata negara Islam semua lemah dan tidak mampu melindungi umat Islam, walaupun ia kewajipan yang dituntut agama.

“Mereka semua lemah dan tidak mampu melindungi umat Islam, walaupun ia adalah tugas mereka,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Mahathir berkata berkata Sidang Kemuncak itu merupakan perhimpunan ulama dan intelektual Islam bagi membincangkan kebimbangan mengenai keadaan umat Islam masa ini.

“Jika kita menilai keadaan kita secara jujur, kita mesti akui kita dan agama kita jadi subjek cercaan dan fitnah,” katanya di depan ratusan pemikir dan pemimpin Islam.

Acara itu juga dihadiri Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Mahathir berkata umat Islam dan Islam disamakan dengan keganasan disebabkan kegagalan kerajaan, tindakan yang tidak rasional, dan tingkah laku tidak bertamadun.

Beliau berkata kerajaan negara Islam dituduh mengamalkan autoritarianisme dan kurang prihatin pada hak asasi manusia, dan orang Islam pula menuduh dunia bukan Islam berat sebelah dan tidak adil dalam penilaian mereka.

“Tetapi kita tidak boleh nafi berlaku perang saudara di beberapa negara Islam, ramai yang bergantung kepada negara-negara bukan Islam yang kuat, dan orang Islam melarikan diri dari negara sendiri untuk mencari perlindungan di negara-negara bukan Islam,” katanya.

Mahathir menambah umat Islam sebahagian besarnya bergantung kepada orang bukan Islam untuk kebanyakan keperluan mereka, hinggakan tidak dapat melengkapkan diri dengan cara untuk menangkis serangan.

“Kita bergantung kepada pengkritik kita,” katanya, dan menambah keadaan sekarang tidak seperti pada abad ke-15 apabila orang Islam maju dalam sains dan kejuruteraan, terutama pembuatan barangan.

Mengenai Islamofobia, Mahathir berkata umat sedia mati mempertahankan Islam dan saudara seagama.

“Tetapi kita melakukan lebih banyak kerosakan pada agama kita apabila melakukan keganasan,” katanya.

Mahathir berkata semasa penjajahan Eropah, umat Islam kehilangan negara mereka.

“Di zaman penjajahan Eropah, umat Islam kehilangan negara, dan belum pulih walaupun selepas merdeka,” katanya.

Beliau berkata jika keadaan tidak diubah, penindasan dan kemunduran umat Islam akan berterusan.

Beliau juga berkata orang Islam tidak lagi boleh mengasingkan diri kerana masyarakat sekarang sudah berubah.

“Tidak ada negara yang boleh 100% umat Islam. Agama lain, nilai-nilai lain, cara hidup yang lain memberi kesan kepada kita walaupun mereka tidak hidup dalam kalangan kita,” katanya.