Mufti Perlis gesa umat Islam antarabangsa utamakan produk Muslim

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menggesa umat Islam antarabangsa bersatu dengan membeli produk yang dihasilkan kalangan mereka bagi mengurangkan kebergantungan dengan negara barat.

Beliau berkata gesaan itu bukan seruan untuk memboikot perkhidmatan orang lain tetapi menasihati umat Islam melihat keadaan ummah.

“Apabila meminta umat Islam tolong ekonomi mereka, ada yang marah dengan mengatakan kita rasis.

“Kita tidak suruh boikot perkhidmatan orang lain. Kita mungkin ada keupayaan membeli yang baik tetapi ada juga negara Islam yang lemah dalam perniagaan,” katanya ketika berucap sebagai ahli panel di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dalam segmen ekonomi bersama ahli panel lain seperti Menteri Hal Ekonomi, Mohamed Amzin Ali.

Asri berkata umat Islam ramai di dalam dunia ini dan mereka akan membantu jika bersatu membeli produk Islam.

Beliau berkata tumpuan Islam gagal berikutan tidak mengeluarkan makanan halal yang secukupnya.

“Masalah keselamatan makanan perlu dibaiki, kita bukan sahaja jadi pengguna tetapi jadi pengeluar juga.

“Ini mesti jadi tanggungjawab kita dalam perbelanjaan yang mesti kita promosikan agar dapat berkongsi pengagihan kekayaan.

Asri juga berkata kebanyakan negara Islam menjadi boneka yang dikawal negara barat.

“Walaupun ada negara Muslim yang kaya minyak dan gas, tetapi sentiasa gagal jadi blok perdagangan kuat untuk satu dunia Muslim.

“Ini kenyataan sedih dan negara Muslim termasuk negara Arab jangan tunduk kepada negara Barat. Kehormatan kita tercalar dan jadi hamba abdi secara ekonomi,” katanya.