Pelarasan cukai PBT tak popular tapi perlu untuk rakyat, kata timbalan menteri

Pelarasan cukai PBT tak popular tapi perlu untuk rakyat, kata timbalan menteri

Lebih banyak pembangunan sosial dapat dijalankan hasil kutipan cukai perkhidmatan yang lebih banyak, kata Raja Kamarul Bahrin Shah.

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin.
KUALA TERENGGANU:
Keputusan kerajaan untuk membuat pelarasan kenaikan cukai-cukai perkhidmatan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara tahun hadapan akan memberi lebih manfaat kepada rakyat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin berkata lebih banyak pembangunan sosial dapat dijalankan untuk penduduk di satu-satu kawasan hasil kutipan cukai perkhidmatan yang lebih banyak, efektif dan teratur.

Katanya, walaupun keputusan itu bukanlah satu langkah yang popular dan boleh memberi tempias kurang baik terhadap kerajaan, ia perlu dilakukan bagi memastikan sumber kewangan PBT mencukupi untuk mentadbir dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Tidak ada kerajaan yang boleh berjalan tanpa mengutip apa-apa cukai secara munasabah.

“Kalau dalam tempoh berpuluh-puluh tahun tak naik, bagaimana PBT nak bagi servis terbaik kepada rakyat dan tampung perbelanjaan sendiri sedangkan bilangan penduduk semakin ramai,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata semua 155 PBT di seluruh negara akan diwajibkan membuat pelarasan kenaikan cukai perkhidmatan bawah bidang kuasa mereka bagi setiap 5 tahun bermula tahun depan.

Zuraida berkata ia perlu bagi memastikan setiap PBT membuat kutipan cukai secara lebih seragam kerana terdapat PBT yang tidak melakukan semakan kenaikan kadar kutipan cukai perkhidmatan melebihi 20 tahun.

Raja Kamarul berkata pelarasan cukai perkhidmatan itu juga dapat menjimatkan perbelanjaan dan memastikan pengurusan kewangan negeri yang lebih seimbang.

“Banyak PBT yang tidak mempunyai dana mencukupi untuk menguruskan perbelanjaan di satu-satu kawasan terpaksa mengambil wang dari sumber negeri untuk menampung perbelanjaan tersebut.

“Ini memberi impak tidak baik kerana mungkin ada program atau projek sosial rakyat lain yang terpaksa dikurangkan untuk menampung perbelanjaan PBT,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.