Sg Semenyih tercemar lagi, bekalan air lebih 300,000 pengguna terjejas

Sg Semenyih tercemar lagi, bekalan air lebih 300,000 pengguna terjejas

Henti tugas loji berskala besar menyebabkan 348 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya hari ini ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata henti tugas loji berskala besar itu akan menyebabkan 348 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran pencemaran itu.

Kenyataan itu menyebut pasukan pemantauan sungai terdiri daripada Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) digerakkan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar sungai itu yang dijangka berpotensi menyumbang kepada pencemaran bau tersebut.

Air Selangor mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas ekoran insiden ini, menurut kenyataan itu.

Air Selangor pada masa ini belum dapat menjangka tempoh pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan kerana bergantung kepada tahap pencemaran yang berlaku.

Menurut kenyataan itu, punca dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air ini sedang dikenal pasti dan perkembangan berkaitan insiden akan dimaklumkan pihak Air Selangor dari semasa ke semasa.

Orang ramai diminta merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau laman sesawang www.airselangor.com untuk maklumat yang akan dikemas kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.