
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Michael Tiang berkata, sekiranya pemimpin persekutuan ikhlas memulihkan status rakan setaraf Sabah dan Sarawak, maka mesti ada suatu pindaan perlembagaan yang mencerminkan hak peruntukan untuk kedua-dua negeri itu dalam belanjawan persekutuan.
“Kita mahu ia jadi perlembagaan. Putrajaya harus beri apa yang sepatutnya dari segi peruntukan kepada Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak mahu bergantung kepada belas kasihan menteri kewangan setiap tahun. Kita tidak mahu ia (peruntukan belanjawan persekutuan) diberi seperti amal,” katanya kepada FMT.
Tiang menggesa pemimpin persekutuan menjelaskan aspek-aspek status rakan setaraf yang mahu dipulihkan itu.
“Aspek rakan setaraf apa yang sedang dibincangkan? Adakah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak akan dibahagikan dengan adil? Adakah Putrajaya akan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan yang lebih adil kepada kedua-dua negeri?” katanya.
Beliau berkata jawatankuasa pemandu yang mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 tidak pernah membincangkan bagaimana Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan harus dipinda.
Pada April, kerajaan persekutuan gagal mendapatkan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan pada perkara itu.
Hanya 138 ahli Parlimen daripada 221 di Dewan Rakyat yang mengundi ketika itu dan daripada 59 yang berkecuali, 18 daripada Gabungan Parti Sarawak.
Pada Rabu, Menteri Liew Vui Keong berkata satu rang undang-undang baru dijangka dibentangkan tahun depan bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setaraf Tanah Melayu dalam pembentukan Malaysia.