2 maut, lebih 65,000 penduduk terjejas akibat hujan lebat di Sri Lanka

Pada Isnin, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa melawat Polonnaruwa dan Anuradhapura di Wilayah Utara Tengah, kawasan yang paling terjejas akibat banjir dan tanah runtuh. (Gambar Bernama)

COLOMBO: Dua maut dan lebih 65,000 penduduk terjejas akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda seluruh Sri Lanka sejak beberapa hari lalu, menurut kenyataan Pusat Pengurusan Bencana pada Isnin.

Agensi berita Xinhua melaporkan, lebih 17,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan, manakala lebih 1,500 rumah musnah atau rosak di 13 daerah.

Presiden Gotabaya Rajapaksa pada Isnin melawat Polonnaruwa dan Anuradhapura di Wilayah Utara Tengah, kawasan yang paling terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.

Beliau memeriksa bantuan kemanusiaan yang diberikan terhadap penduduk yang hilang tempat tinggal, memeriksa program kebajikan serta mengarahkan pihak berkuasa supaya terus memberikan bantuan kepada mangsa.

Angkatan tentera turut dikerah ke beberapa daerah di seluruh negara bagi memberikan bantuan segera serta mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat, kata Kementerian Pertahanan.

Tentera Laut mengerahkan 25 pasukan penyelamat yang melakukan rondaan di kawasan banjir selain memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca buruk akan berlarutan di Sri Lanka untuk beberapa hari lagi. Ia meramalkan hujan lebat akan terus melanda Wilayah Utara Tengah serta daerah di timur dan selatan.

Hujan lebat antara 50 hingga 75 mm mungkin melanda beberapa kawasan di Sabaragamuwa, Wilayah Tengah dan Barat.

“Orang ramai digesa supaya lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini akibat angin kencang dan kilat semasa ribut petir melanda,” menurut jabatan itu.