Asid urik berlebihan punca pelbagai masalah kesihatan?

Semua orang suka makan seafood, lagi-lagi kalau ia fresh dan merupakan hasil tangkap yang baru dinaikkan dari laut.

Tetapi tahu tak makanan seperti itu tinggi kandungan asid urik?

Asid urik dalam badan

Segala makanan yang anda ambil dan prosedur penguraian semula jadi merupakan satu cara biasa untuk mensintesis asid urik.

Buah pinggang adalah organ yang berfungsi menapis asid ini dan ia biasanya disingkirkan daripada badan melalui air kencing.

Dalam sesetengah kes yang jarang berlaku, ia mungkin dikeluarkan melalui najis.

Sekiranya buah pinggang anda tidak berfungsi secara normal atau terlalu banyak asid urik yang terhasil, ia akan menyebabkan peningkatan tahap asid tersebut di dalam darah.

Individu dengan tahap asid yang tinggi, akan cenderung mengalami pembentukan pepejal kristal pada sendi. Ia adalah penyakit gout.

Masalah gout yang tidak dirawat, akan mengakibatkan kristal ini untuk berkembang pada sendi dan tisu berdekatan.

Ia akan membentuk mendapan (deposit) keras dan berketul dipanggil tophi.

Tahap asid yang tinggi juga boleh menyebabkan berlakunya batu karang atau kegagalan fungsi buah pinggang.

Masalah gout

Individu dengan masalah ini akan berdepan dengan kesihatan yang teruk pada bahagian sendi yang terlibat.

Apabila terjadinya gout, selalunya ia akan menyebabkan pergerakan terbatas disebabkan sendi mengalami keradangan dan bengkak kerana pengumpulan asid urik di kawasan berkenaan.

Gout dianggap sebagai satu masalah yang melibatkan metabolisma disebabkan kehadiran asid yang tinggi di dalam darah.

Asid ini akan berkumpul di dalam darah atau di dalam sendi dan pada kepekatan yang tinggi, ia akan membentuk kristal.

Kristal asid urik ini sukar untuk terurai pada suhu rendah.

Oleh sebab ini, serangan gout selalu terjadi pada bahagian kaki disebabkan suhu pada bahagian tersebut lebih rendah sedikit berbanding sendi yang lain.

Batu karang

Batu karang boleh terbentuk dalam sistem urinari seseorang individu disebabkan pengambilan dan penghasilan asid urik serta kalsium secara berlebihan.

Pengambilan air yang kurang dari 1.5 liter hingga 2 liter sehari adalah antara faktor penyumbang kepada masalah batu karang.

Pembentukan batu karang boleh berlaku apabila ginjal gagal berfungsi untuk menapis kehadiran bahan seperti kalsium, asid urik dan bakteria – Proteus, Psedomonas dan Klebsiella – terus melekat pada bahagian dinding buah pinggang.

Selain berpunca daripada masalah metabolisme badan, pengambilan makanan seperti makanan laut khususnya kerang, sotong, ikan bilis dan ikan sardin juga boleh menyebabkan peningkatan asid ini di dalam badan.

Tabiat memakan organ dalaman seperti hati, paru-paru dan usus, pelbagai jenis kekacang dan ulaman yang tinggi sumber protein yang dikenali sebagai purine, boleh mengakibatkan pembentukan batu karang.

Cara mengatasinya

Untuk menghindari risiko peningkatan tahap asid urik dalam badan, anda digalakkan untuk mengamalkan tabiat minum air kosong bergantung kepada keperluan harian anda, mengawal pengambilan kalori harian yang seimbang bergantung kepada keperluan badan serta mengawal pemakanan secara keseluruhan.

Cara yang terbaik adalah untuk mendapatkan nasihat daripada doktor mahupun pakar pemakanan mengenai kaedah penjagaan kesihatan untuk mengawal peningkatan asid urik di dalam badan anda.

Risiko untuk mengalami sebarang masalah kesihatan, sering kali didasari oleh faktor pengambilan makanan seharian.

Jadi untuk mengelakkan peningkatan kecenderungan menghidapi masalah berkaitan kesihatan, anda harus menitik beratkan aspek pemakanan.

Dalam masa yang sama pastikan anda melakukan aktiviti senaman serta menghindari tabiat yang tidak mendatangkan manfaat kepada kesihatan.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]