Kadir selar Johari kritik Putrajaya

Kadir selar Johari kritik Putrajaya

Kadir Jasin mempersoalkan kredibiliti Johari Abdul Ghani menyenaraikan 3 isu yang mempengaruhi keyakinan pelabur dan ekonomi.

Wartawan veteran A Kadir Jasin.
PETALING JAYA:
Wartawan veteran A Kadir Jasin menyelar bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani berhubung kritikannya terhadap kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Menerusi Facebook, Kadir mempersoalkan kredibiliti Johari selepas bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu menyenaraikan 3 isu yang mempengaruhi keyakinan pelabur dan ekonomi.

Sabtu lalu, Johari menyenaraikan isu antaranya, peralihan kuasa daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim yang katanya menyebabkan ketidakpastian dalam pasaran modal.

“Bukankah Johari Abdul Ghani ini bekas menteri kewangan ll zaman kleptokrasi Najib Razak yang turut pembuat keputusan yang merugikan negara?”

“Bukankah dia antara yang terlibat dengan pembelian saham Eagle High Plantations dengan harga yang sangat mahal oleh Felda?” soal Kadir yang juga penasihat Mahathir.

Beliau berkata nama Johari juga disebut dalam laporan audit bebas mengenai transaksi itu, sambil menambah namanya kini dikaitkan dengan urusan Felda Global Ventures.

Kadir berkata beliau mendengar daripada pengamal media di News Straits Times Press dan Media Prima bahawa Johari yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, terlibat cergas dengan penyusunan semula kumpulan media itu.

“Pelik sebab ikut cerita, Umno sudah jual semua saham dalam Media Prima. Jadi macam mana pula ahli MT Umno masih terlibat?”

Beliau juga mempersoalkan kritikan Johari terhadap Putrajaya berhubung Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), yang dibubarkan selepas 100 hari kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14.

“Jadi pasal apa Johari ungkit-ungkit?

“Atau apakah dia ada kepentingan dan peranan dalam urusan jual-beli syarikat kerajaan dalam era PH ini?

“Misteri yang perlu dijawab.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.