
JERUSALEM: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menuduh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai anti-Yahudi susulan ketua pendakwa raya mahkamah itu merancang untuk melakukan siasatan jenayah perang di wilayah Palestin.
“Satu perintah rasmi telah dikeluarkan terhadap orang-orang Yahudi, perintah rasmi anti-Semistem oleh ICC mengatakan yang kita, Yahudi berdiri di sini di sebelah tembok ini… di bandar ini, di negara ini, tiada hak tinggal di sini dan disebabkan itu, kita telah melakukan jenayah perang,” katanya.
“Anti-Yahudi tulen,” kata Netanyahu, menimbulkan perdebatan kemungkinan berlaku serangan terhadap negara itu, yang mana kebanyakan penduduk Israel percaya kritikan mengenai polisi negara tersebut terhadap Palestin, disebabkan oleh sentimen anti-Yahudi terutama di Eropah.
Pendakwa raya ICC, yang berpangkalan di The Hague, Belanda, Fatou Bensouda, pada Jumaat lalu berkata beliau akan melancarkan siasatan penuh terhadap dakwaan jenayah perang di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Gaza sebaik saja bidang kuasa mahkamah di wilayah terbabit disahkan.
Pengumuman Bensouda itu akan membuka pertuduhan yang berkemungkinan difailkan terhadap Israel atau Palestin.
Sebahagian besar media Israel menggambarkan ia sebagai langkah untuk menangkap dan membicarakan pemimpin serta pegawai tentera Israel jika mereka melakukan perjalanan ke luar negara.
Tuduhan Netanyahu dilihat merujuk pada senario aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, di mana Tembok Barat berada dalam tembok kota lama, yang boleh dilihat ICC sebagai jenayah perang.
Pendakwa raya ICC mengatakan siasatan awal mengenai tebing Barat memberi tumpuan kepada “aktiviti berkaitan penempatan yang dilaporkan dilakukan oleh pihak berkuasa Israel”.
Palestin dan kebanyakan negara menganggap penempatan itu haram.
Rakyat Palestin menyambut baik keputusan Bensouda.
Netanyahu pada Jumaat lalu berkata ICC tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat aktiviti penempatan di wilayah Palestin, dengan alasan mahkamah itu hanya boleh memeriksa petisyen yang dikemukakan oleh sebuah negara berdaulat.
ICC mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes melibatkan jenayah perang, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan membabitkan wilayah di mana 123 buah negara berdaftar dengannya.
Israel tidak menyertai ICC tetapi pihak berkuasa Palestin, yang menjalankan peraturan sendiri di Tebing Barat yang diduduki, berdaftar dengan mahkamah tersebut.
Manakala Gaza diperintah oleh kumpulan islam Hamas.