Banjir di Kelantan pulih, semua pusat pemindahan tutup

Banjir di Kelantan pulih, semua pusat pemindahan tutup

Ia berikutan keadaan cuaca baik di seluruh negeri sejak 2 hari lepas.

Semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Kelantan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Pasir Mas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing malam tadi. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan ditutup sepenuhnya kira-kira 8 malam tadi dengan 38 mangsa banjir daripada 15 keluarga terakhir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Pasir Mas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata ia berikutan keadaan cuaca baik di seluruh negeri sejak 2 hari lepas.

“Walapun gelombang ke-2 banjir di negeri ini berlaku awal namun semua keperluan asas kepada mangsa banjir dapat kita sediakan tanpa sebarang masalah.

“Ini kerana persiapan awal kita lakukan sebelum ini termasuk pembelian darurat pada 9 Dis lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya persiapan yang sama juga dilakukan bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya di Kelantan terutama pada 25 Dis ini yang diramal bakal berlaku fenomena air laut pasang besar.

Said berkata menguruskan mangsa banjir pada gelombang pertama memberi pengalaman berharga kepada semua petugas bagi mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih lancar.

“Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada mangsa yang mematuhi arahan berpindah dengan lebih awal selain memberi kerjasama yang baik semasa berada di PPS,” katanya.

Katanya trend banjir gelombang ke-2 juga agak berbeza apabila jajahan Tumpat yang biasanya menjadi lokasi terakhir banjir tidak terkesan dengan bencana itu.

“Tiada mangsa yang dipindahkan di jajahan Tumpat untuk banjir kali ke-2. Ia memberi sedikit kelegaan kepada pihak kami untuk memberi fokus kepada jajahan lain yang terkesan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Said berkata JKM turut memantau keadaan cuaca di selatan Thailand bermula hari ini hingga berakhirnya ramalan fenomena air pasang sebagai persiapan menghadapi segala kemungkinan.

Katanya hujan yang lebat di Thailand antara faktor yang turut mempengaruhi banjir di Kelantan kerana mampu meningkatkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.