Wanita berpurdah di Palestin cari rezeki buat patung Santa

Wanita berpurdah di Palestin cari rezeki buat patung Santa

Wanita itu diberikan latihan vokasional mengenai cara menghasilkan hadiah bagi pelbagai perayaan selama 3 tahun.

Sekumpulan wanita berpurdah sedang menjahit patung Santa Claus di sebuah kilang di Kampung Umm al-Nasser, dekat Beit Hanoun, Semenanjung Gaza. (Gambar AFP)
BEIT LAHIA:
Sekumpulan wanita berpurdah sibuk menghasilkan Santa Claus di sebuah kilang kecil di utara Semenanjung Gaza, untuk dijadikan hadiah Krismas, keadaan itu berbeza dengan kebiasaan di Palestin.

Kilang yang terletak di Kampung Umm al-Nasser, dekat Beit Hanoun di Palestin itu ialah projek Koperasi Zeina yang mengambil kira-kira 20 pekerja wanita.

Penyelia Asma Abu Qaida memberitahu AFP, wanita itu diberikan latihan vokasional mengenai cara menghasilkan hadiah bagi pelbagai perayaan, termasuk Ramadan dan Krismas, selama 3 tahun.

Tujuh daripada wanita itu turut menerima latihan pertukangan kayu.

Bagi musim perayaan ini, mereka menghasilkan beberapa hadiah, termasuk patung Santa dan pokok kayu Krismas.

Ia kemudiannya dibungkus dalam kotak hadiah yang tertera perkataan “Selamat Hari Krismas” dalam bahasa Inggeris dan Arab.

“Kami membuat hadiah Krismas dengan kasih sayang dan ketepatan,” kata Abu Qaida sambil menambah kebanyakan pelanggan mereka ialah orang asing di organisasi antarabangsa di Semenanjung Gaza.

Kampung Umm al-Nasser yang mempunyai 6,000 penduduk, ditadbir Hamas sejak 2007 dan di bawah sekatan Israel sejak lebih sedekad lalu.

Pengarah Eksekutif Koperasi Zeina, Hanin Rizk al-Sammak berkata program itu memberi peluang kepada wanita untuk bekerja dan keluar dari rumah, di mana kebiasaannya mereka dilarang meninggalkan kampung kecuali ketika kecemasan.

“Projek membuat hadiah ini memberi peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.