Pakar: Persekitaran hijau bantu kesihatan mental, fizikal

Lakukan aktiviti fizikal dengan keluarga boleh membantu kesihatan fizikal dan mental. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penduduk di bandar memerlukan persekitaran hijau dan segar untuk memastikan kesihatan mental dan fizikal mereka di tahap baik.

Pakar Psikologi Hospital KPJ Puteri, A Loheswary berkata amat penting untuk setiap individu memiliki persekitaran terbuka dikelilingi pokok atau tasik kerana ia memberi ketenangan.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak semua individu mampu memiliki rumah dengan persekitaran terbuka terutama di kawasan bandar.

“Ramai dalam kalangan kita yang tinggal di kawasan tertutup seperti pangsapuri, kondominium atau flat malah pejabat juga dengan konsep sama.

“Jadi amat penting untuk kita ke taman bersama keluarga sekurang-kurangnya seminggu sekali supaya dapat lari daripada kesibukan dan kawasan tertutup itu.

“Lakukan aktiviti fizikal dengan keluarga pun boleh membantu kesihatan fizikal dan mental kita. Pemandangan yang cantik dan menenangkan itu akan memberi ruang kepada kita untuk melepaskan tekanan,” katanya kepada FMT.

Menurut Loheswary, selain gaya hidup, faktor biologi, psikologi dan sosial juga menyumbang kepada gangguan kesihatan mental.

“Faktor biologi ini genetik, mungkin ada dalam keluarga yang menghadapi masalah mental dan ketidakseimbangan hormon.

“Bagi faktor psikologi pula macam kurang keyakinan diri, kurang tidur, pemikiran negatif serta cara selesaikan masalah yang kurang berkesan.

“Faktor sosial ini banyak antaranya tekanan di tempat kerja, kurang masa untuk diri sendiri dan keluarga, terlalu taksub dengan permainan dalam talian atau telefon bimbit serta masalah kewangan,” katanya.

Jelasnya, ramai pesakit yang tidak menyedari tahap kesihatan mental mereka sehingga keadaan menjadi teruk.

“Ramai tak sedar sebab itu penting untuk semak sendiri tahap kesihatan mental kita. Masalah mental seperti kemurungan dan kebimbangan (anxiety) dilaporkan meningkat kerana tidak diambil serius sampai jadi teruk.

“Majikan juga boleh main peranan dengan memberikan program bimbingan untuk bantu pekerja dari sudut kesihatan mental,” katanya.

Tambahnya, kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 29.2% rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental di mana 3 daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas berdepan masalah tersebut.