Habiskan cuti sekolah anda dengan mural di Ampang Point!

Masih belum terlambat untuk anda menghabiskan cuti hujung minggu terakhir sebelum memulakan kembali persekolahan pada Januari 2020.

Terdapat beberapa lokasi menarik yang masih anda boleh tuju untuk rileks dan santai bersama rakan, kenalan dan juga keluarga.

Selain Taman Tasik Titiwangsa yang sudah dibuat pembaharuan, Ampang Point juga turut melakukan perkara yang sama dengan membuat sedikit kelainan sebagai tarikan kepada pengunjung.

Lukisan mural menjadi konsep di Ampang Point, menampilkan kelainan kepada mereka yang hadir di situ.

Jika sebelum ini pasti anda terlihat beberapa gerai dibuka di sekitar Ampang Point dan bank yang berdekatan, namun kini anda pasti akan teruja melihat keunikannya.

Antara lukisan yang dibuat adalah permainan tradisi kanak-kanak iaitu tinting, dan di sekeliling dipenuhi gambar pokok berwarna hijau dan beberapa ekor burung yang berterbangan di sekitar kawasan tersebut.

Selain itu terdapat juga paparan lukisan mural tiga dimensi (3D) di dinding dan lantai kawasan Senario Ampang.

Malah juga terdapat panorama Permatang Kuartza Bukit Tabur dan Empangan Klang Gates, Zoo Negara serta bergambar dengan bintang lagenda bola sepak Allahyarham Mokhtar Dahari.

Melihat kepada semua dekorasinya, ia kelihatan cukup cantik dengan warna yang terang dan menyerlah, sesuai untuk “Instafamous” mahupun netizen yang suka mengambil gambar untuk dimuat naik dalam media sosial.

Malah kanak-kanak juga pasti sukakannya kerana lokasi mural yang dibuat di tengah-tengah antara dua bangunan begitu menarik perhatian masyarakat untuk berkunjung tanpa sebarang gangguan kesesakan lalu lintas di sana.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]