8 kanak-kanak di Sabah dijangkiti H1N1 dalam 2 minggu

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon Ming Fung.

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah (JKNS) mengesahkan 8 kes Influenza A H1N1 dikesan dalam kalangan kanak-kanak yang dilaporkan sejak 15 Dis lalu hingga semalam, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon Ming Fung.

Katanya, kanak-kanak terbabit berumur 1 hingga 12 tahun dengan semuanya dilaporkan dalam keadaan stabil.

“JKNS mengambil tindakan kawalan bagi mencegah jangkitan daripada merebak. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit Influenza dan cara mengelak jangkitan juga diberikan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan wabak Influenza A H1N1 dalam kalangan kanak-kanak didakwa dijangkiti di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Influenza A H1N1 adalah jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam, selsema, sakit tekak, batuk, kurang selera makan, sakit kepala, otot, sendi dan kelesuan.

Demam selsema mudah berjangkit kepada orang lain melalui titisan cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

Ia juga boleh menyebabkan jangkitan teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung serta individu menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.

Poon menasihatkan mereka yang mengalami gejala itu menjalani pemeriksaan dan rawatan di kemudahan kesihatan berhampiran.

Katanya, orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi dinasihat mendapatkan vaksin influenza bermusim yang ditawarkan kemudahan kesihatan swasta di seluruh Sabah.