Ahli Parlimen anti-Islam Belanda hentikan pertandingan karikatur nabi selepas beberapa jam

Geert Wilders membatalkan satu lagi pertandingan karikatur pada Ogos tahun lalu selepas polis menahan seorang lelaki yang mengugut akan membunuhnya. (Gambar Reuters)

AMSTERDAM: Ahli Parlimen anti-Islam Belanda, Geert Wilders menamatkan pertandingan karikatur Nabi Muhammad hanya beberapa jam selepas mengumumkan acara penuh kontroversi itu.

Dalam catatan yang dimuat naik ke Twitter pagi Ahad, Wilders berkata, beliau mampu menyuarakan kepentingan mengenai kebebasan bersuara susulan tumpuan yang diberikan masyarakat antarabangsa terhadap pertandingan itu.

“Misi berjaya. Pertandingan tamat,” tulisnya di atas sekeping gambar yang dikatakan karya pemenang menunjukkan seorang lelaki berjambang yang marah.

Islam melarang imej Nabi Muhammad ditunjukkan dan karikatur pula dianggap umat Islam sebagai satu bentuk penghinaan.

Wilders membatalkan satu lagi pertandingan sedemikian pada Ogos tahun lalu selepas polis menahan seorang lelaki yang mengugut akan membunuhnya.

Ketika itu, rancangan mengadakan pertandingan karikatur itu menyebabkan demonstrasi besar-besaran diadakan di Pakistan dan Wilders dilaporkan berkata, beliau merasakan orang tidak bersalah mungkin menjadi mangsa keganasan.

Parti Kebebasan anti-Islam Wilders ialah parti kedua terbesar di Parlimen Belanda, tetapi ia bukannya parti pemerintah.