Buka semula kedutaan di Pyongyang, keselamatan diutama, kata menteri

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, antara perkara yang turut dipertimbangkan adalah status tanpa visa untuk rakyat Korea Utara ke negara ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, semua langkah keselamatan perlu diberikan keutamaan berhubung keputusan Malaysia membuka semula kedutaan di Pyongyang, Korea Utara tahun depan.

Beliau berkata, meskipun semua langkah yang diambil tidak boleh didedahkan, tetapi antara perkara yang turut dipertimbang adalah status tanpa visa untuk rakyat Korea Utara ke negara ini.

“Buat masa ini kita sedang memulihkan semula hubungan. Segala isu yang timbul kita akan tangani satu persatu. Ia tidak semestinya tanpa visa.

“Saya tidak mahu benar-benar melihat ke arah itu.
Tapi sudah pasti lawatan perlu dibenarkan dan jika tidak, beberapa aspek berkaitan undang-undang dan peraturan imigresen perlu diperhalusi,” katanya baru-baru ini.

Saifuddin berkata, beliau yakin semua isu berbangkit dapat ditangani oleh kedua-dua pihak.

Sebelum ketegangan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, adik tiri pemimpin agung Korea Utara, Kim Jong-un pada Feb 2017, rakyat Korea Utara boleh melawat Malaysia tanpa visa dan begitu juga sebaliknya.

Saifuddin berkata, pembukaan semula kedutaan pada suku pertama 2020, secara tidak langsung membolehkan Malaysia memainkan peranan menggalakkan Korea Utara menyambung rundingan damai dengan jirannya, Korea Selatan.

“Selagi DPRK (Korea Utara) mempamerkan kesungguhan untuk berunding dan mara ke depan, ia memerlukan sedikit sebanyak galakan.

“Sebagai contoh, menarik balik sebahagian daripada sekatan. Tetapi ia tidak berlaku.

“Jadi dengan mengaktifkan semula kedutaan kita, ia memberi isyarat kepada DPRK bahawa kita menghargai anda dan kini bekerjasama dengan jiran anda. Kami mahu menjadi pihak yang secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan itu menerusi langkah memulihkan hubungan kita. Oleh yang demikian, kami mahu mengaktifkan semula kedutaan kami,” katanya.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang sejak bermulanya siasatan terhadap kematian Jong-nam.

Pada 4 Mac 2017, Malaysia mengisytiharkan Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, sebagai “persona non-grata” selepas gagal memohon maaf berhubung dakwaannya Malaysia bersekongkol dengan Korea Selatan dalam menyiasat pembunuhan itu.

Sebagai tindak balas, Korea Utara mengambil tindakan yang sama.

Berkuat kuasa 6 Mac 2017, Malaysia menarik balik keistimewaan tanpa visa untuk warga Korea Utara.

Pyongyang kemudian bertindak menghalang kakitangan kedutaan Malaysia dan keluarga mereka meninggalkan Korea Utara. Malaysia juga mengambil langkah sama.

Ketegangan diplomatik sedikit reda selepas 9 kakitangan kedutaan Malaysia dan keluarga mereka yang dilarang meninggalkan Korea Utara selamat tiba di Malaysia pada 31 Mac 2017.

Malaysia juga membenarkan warga Korea Utara meninggalkan negara ini dan jasad Jong-nam juga dihantar ke Korea Utara atas permintaan keluarganya.

Sebelum kejadian, Malaysia kekal sebagai antara beberapa rakan dagangan Pyongyang selepas negara itu dipinggirkan oleh komuniti antarabangsa berikutan program peluru berpandunya nuklearnya.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula terjalin pada 30 Jun 1973.