Hati-hati cara tulis tarikh pada 2020, kata peguam

Menurut peguam, walaupun bukan keperluan dari sudut undang-undang, namun amalan lebih baik ialah menggunakan bentuk 4 angka untuk menulis tarikh dalam dokumen rasmi. (Gambar Rawpixel)

PETALING JAYA: Apabila anda menulis tarikh dalam dokumen undang-undang dan rasmi, tuliskan tahunnya secara penuh dalam bentuk 4 angka (2020), kata 2 orang peguam.

Lim Wei Jit dan Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, paling baik elakkan singkatan seperti bentuk 2 angka “dd/mm/20” kerana pihak tidak bertanggungjawab boleh mengubah angka tersebut untuk tujuan mereka sendiri.

“Saya boleh menjangka implikasi negatifnya. Jadi lebih baik tulis 2020 supaya selamat,” kata Lim ketika ditanya mengenai pesanan tular yang menggesa orang ramai supaya menulis tahun 2020 dalam bentuknya yang sempurna.

Pesanan itu juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima dokumen rasmi tanpa tarikh yang ditulis dalam bentuknya yang sempurna bagi menghindari masalah pada masa depan.

“Ada kebenarannya peringatan itu jika anda tidak mahu orang lain meminda tarikh pada dokumen anda. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang mesti dari segi undang-undang,” kata Lim lagi.

Presiden Majlis Peguam, Abdul Fareed berkata, walaupun bukan keperluan dari sudut undang-undang, namun amalan lebih baik ialah menggunakan bentuk 4 angka dalam dokumen rasmi.

“Apabila kita tulis tarikh seperti 31.1.19, ia tidak bermakna atau dianggap bermakna tahun 1819 atau 1919, tetapi 2019. Ia sama juga dengan 31.1.20,” katanya.

“Bagaimanapun adalah lebih baik menulisnya dengan jelas dan spesifik. Tulis penuh,” katanya.