Kastam patah cubaan seludup keluar sarang burung RM2 juta

Lapan karton sarang burung yang disita ini tidak mempunyai dokumen Borang Kastam 2, permit Jabatan Veterinari Sarawak dan surat levi Jabatan Perhutanan (Hidupan Liar Dilindungi).

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar sarang burung yang diproses bernilai RM2.108 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching 2 hari lepas.

Pengarah Kastam Sarawak, Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, cawangan operasi darat ibu pejabat Kastam Kuching bersama unit khas pemeriksaan penumpang LTAK menahan 8 kotak konsainan di pusat kargo Outbound Loading Bay.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan menggunakan mesin pengimbas ke atas 8 bagasi penumpang penerbangan AirAsia AK9237 dan Malindo Air OD7605 yang menuju ke Kuala Lumpur dan transit ke Hong Kong.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi penumpang, pasukan menjumpai 8 karton bersamaan 210.8kg sarang burung yang diproses. Semua barang disita untuk siasatan lanjut, nilai rampasan RM2.108 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah berkata, siasatan lanjut mendapati barangan itu tidak mempunyai dokumen Borang Kastam 2 (K2), permit Jabatan Veterinari Sarawak dan surat levi Jabatan Perhutanan (Hidupan Liar Dilindungi).

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah duti kastam atau RM100,000 atau denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM500,000, mengikut mana-mana jumlah lebih besar atau penjara tidak kurang 6 bulan dan lebih 5 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.