Kertas peperiksaan universiti puji Zakir Naik ‘ikon dunia Islam’

Tangkap layar soalan dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik yang dimuat naik ke Facebook oleh Naib Presiden MIC, Sivarraajh Chandran.

PETALING JAYA: Media sosial kecoh dengan penyebaran kertas peperiksaan sebuah universiti yang menggelar penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam.

Naib Presiden MIC, Sivarraajh Chandran memuat naik tangkap layar soalan itu yang terkandung dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik Universiti Malaysia Perlis ke Facebook hari ini.

Soalan itu berbunyi: “Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam, beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Beliau mampu berhujah dan mampu menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?”

Jawapan pelbagai pilihan disediakan kepada pelajar dengan alasan berikut:

1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu.

2) Rakyat Malaysia yang mudah rasa terancam tanpa usul periksa.

3) Rakyat Malaysia yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa.

4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.

Sivarraajh mempertikaikan kenapa soalan tidak menghormati sensitiviti kaum itu dimasukkan dalam kertas peperiksaan kursus untuk meningkatkan pemahaman pelajar mengenai hubungan berbilang kaum dan agama di negara ini.

FMT cuba menghubungi universiti terbabit untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.