Polis bertugas maut dengan kesan tembakan dalam sekatan jalan

Noor Azam Jamaludin berkata, anggota lain tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dan ternampak anggota polis berusia 26 tahun itu rebah di atas jalan raya.

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berusia 26 tahun ditemui maut dengan kesan tembakan ketika sedang bertugas di sekitar Dengkil, Sepang dekat sini, dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi tadi.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata, ketika kejadian, anggota polis berkenaan bersama anggota pasukan lain sedang melakukan sekatan jalan di kawasan terbabit.

Katanya, ketika anggota lain sibuk menjalankan tugas, tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan dan ternampak anggota itu rebah di atas jalan raya.

“Polis masih menyiasat punca kejadian untuk melengkapkan siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang tengah hari tadi menemui sebutir peluru di kepala anggota terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Md Noor Aehwan Mohammad berkata,​ terdapat satu kesan luka masuk di sebelah kanan atas telinga dan satu kesan luka keluar tembakan atas telinga kiri anggota itu.

“Hasil bedah siasat juga mengesahkan terdapat kesan luka tembakan masuk di sisi kanan menembusi tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.”

Katanya, mangsa berkhidmat dengan polis selama 5 tahun dan mempunyai seorang isteri serta seorang anak.

“Laporan kematian mengklasifikasikannya kematian mengejut. Siasatan lanjut masih diteruskan.”